
Tune Talk sumbang RM100,000 kepada MMAS
KUALA LUMPUR,. Penyedia perkhidmatan mudah alih Tune Talk Sdn Bhd akan menghulurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Perubatan Malaysia Sabah (MMAS) sebagai sebahagian daripada usaha bersama dalam memerangi pandemik COVID-19 dan membantu petugas perubatan barisan hadapan.
Ketua Pegawa Eksekutif (CEO) Tune Talk Ameen Amaendran berkata inisiatif itu dimulakan susulan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia Timur, yang menyaksikan beberapa daerah telah dikategorikan sebagai zon merah sehingga menyebabkan beberapa hospital di Sabah dan Sarawak memerlukan lebih banyak bantuan.
“Susulan inisiatif itu, kempen sumbangan The Power of 99 SEN turut dilancarkan mulai hari ini sehingga 30 April bagi meneruskan bantuan Tune Talk di Malaysia Timur. Fasa kedua inisiatif ini akan disumbangkan kepada rakan petugas perubatan barisan hadapan kami di Sarawak dalam membiayai bekalan perubatan serta keperluan harian bagi mengurangkan beban mereka,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata menerusi kempen itu, Tune Talk berhasrat memanjangkan bantuan mereka kepada petugas perubatan barisan hadapan terutama di Malaysia Timur dalam usaha mengekang peningkatan kes.
Pelanggan Tune Talk boleh memainkan peranan mereka dan menyumbang dengan menghantar SMS 99SEN ke 2222 dan 99 sen daripada kredit mereka akan dipotong dan dijadikan sumbangan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen The Power of 99 SEN, sila layari www.tunetalk.com.
— BERNAMA