Tunggakan RM2.3 juta: Melaka United berdepan tindakan mahkamah – PFAM

Tunggakan RM2.3 juta: Melaka United berdepan tindakan mahkamah – PFAM

KUALA LUMPUR,. Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) memberi amaran bakal membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan berhubung isu tunggakan gaji pemain Melaka United FC, yang mencecah RM2.3 juta.

PFAM, menerusi kenyataan, berkata tindakan itu adalah bagi membela nasib pemain yang terkesan secara langsung akibat daripada sikap pengurusan tidak mengambil serius untuk memperjuangkan hak dan kebajikan pemain.

Menurut PFAM, isu pemilikan yang timbul dalam kelab berkenaan, mengeruhkan lagi keadaan kerana pihak sewajarnya bertanggungjawab membayar gaji dilaporkan tidak mahu memberi kerjasama.

“Semalam (kelmarin), merupakan tarikh akhir bagi notis yang dihantar ke Melaka United menerusi PFAM untuk melunaskan tunggakan gaji yang dihadapi oleh pemain. Tunggakan gaji bermula Julai hingga Disember 2022 menyebabkan pemain Melaka United berdepan situasi enam bulan tidak bergaji.

“Lebih mendukacitakan, pemain yang mempunyai komitmen bulanan terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan diri dan keluarga sehingga berulang kali menerima panggilan daripada pihak bank untuk menyelesaikan pembayaran bulanan,” menurut kenyataan itu.

PFAM berkata Melaka United tidak mematuhi keputusan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan pada 4 Nov lalu, yang mengarahkan kelab berkenaan melunaskan satu bulan gaji terlebih dahulu.

PFAM memaklumkan laporan tunggakan gaji bagi bulan-bulan yang berikutnya telah dihantar ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan.

“Realiti ini amat mendukacitakan kerana sebagai pemain bola sepak profesional dalam negara, mendapat bayaran gaji daripada majikan berdasarkan kepada persetujuan dalam kontrak adalah hak yang sewajarnya dipenuhi.

“Mereka sepatutnya tidak perlu untuk merayu seolah-olah meminta bantuan ataupun mereka melakukan kesalahan untuk menerima gaji mereka sendiri,” menurut PFAM.

Kelmarin, bekas pemain Melaka United. Syukri Baharun, mempersoalkan bagaimana pasukan itu, yang kini ditukar nama ke Melaka FC di bawah pengurusan baharu, dibenarkan beraksi di Liga M3 musim ini, walaupun masih belum menyelesaikan tunggakan gaji selama enam bulan pada musim lepas.

Sebelum ini, Melaka United dan Sarawak United disingkirkan daripada Liga Super 2023 apabila permohonan kedua-dua kelab berkenaan untuk Lesen Kebangsaan ditolak ekoran masalah tunggakan gaji pada musim lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This