Tutup Kampung, Penduduk Pindah Ke Hutan

Tutup Kampung, Penduduk Pindah Ke Hutan

PENDUDUK Kampung Orang Asli Berasau di Kluang menutup jalan masuk ke penempatan mereka dan berpindah ke dalam hutan bagi memastikan tiada dijangkiti wabak Covid-19.

Tok Batin Sari Achu berkata, tindakan itu dilakukan berikutan kebimbangan mereka terhadap penyakit berbahaya itu dan tidak mahu ada penduduk kampung yang terkesan.

Katanya, semua kira-kira 120 penduduk kampung Orang Asli berkenaan sepakat untuk berpindah ke Sungai Madek iaitu kira-kira lima kilometer dari kampung dan membina pondok sementara bagi membolehkan mereka tinggal di dalam hutan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tidak ada apa-apa yang istimewa di kampung kami, jadi orang luar tak perlu datang dan buat masa ini kami tidak membenarkan sesiapa pun untuk datang ke sini.

“Walaupun penduduk kampung sudah dipindahkan namun kami tetap meletakkan beberapa orang untuk bertugas menjaga rumah tidak ada yang mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Sari Achu, sepanjang tempoh mengasingkan diri itu, pihaknya akan memanfaatkan tumbuhan hutan selain bekalan makanan yang dibawa ketika berpindah sebelum ini namun akan mewakilkan penduduk untuk keluar ke pekan Kahang sekiranya memerlukan.

Sementara itu, Kampung Orang Asli Pucur yang terletak hanya kira-kira satu kilometer dari jalan utama Kluang – Mersing mengambil tindakan menutup terus jalan masuk ke kampung berkenaan.

Penolong Tok Batin, Tenggara Jaafar berkata, hanya penduduk kampung itu sahaja yang dibenarkan masuk atau keluar namun perlu disaring terlebih dahulu.

“Penduduk yang keluar membeli barang keperluan harian akan dipastikan menggunakan penutup muka dan mencuci tangan menggunakan pembasmi kuman sebelum dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

“Mereka juga dipastikan hanya seorang daripada daripada setiap keluarga yang keluar membeli barang atau mewakilkan melalui jiran,” katanya. – HMETRO

CATEGORIES
Share This