TV Pendidikan inisiatif tambahan dalam PdPR
KUALA LUMPUR,. Cadangan kerajaan untuk mewujudkan semula saluran khas TV Pendidikan pada suku pertama tahun ini pastinya dapat mengukuhkan lagi sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), khususnya bagi pelajar yang menghadapi kekangan kemudahan Internet.
Pada masa ini, slot itu yang ditawarkan menerusi TV Okey selama dua jam, Astro Tutor TV (empat jam) dan lima jam di NTV7, banyak membantu pelajar mendapatkan pembelajaran tambahan.
Mengulas slot TV Pendidikan yang ada kini, seorang ibu, Asnidar Shafie, 48, berkata pelajar harus merebut peluang yang ada agar tidak tercicir atau ketinggalan dalam pelajaran, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.
“Tapi, ibu bapa pula jangan panik jika anak-anak mereka tertinggal untuk mengikuti slot TV Pendidikan ini kerana program selalu berulang dan pengajarannya berbaloi walaupun dalam masa singkat. Sekiranya setiap PdP itu diikuti hingga setahun, ia sama seperti murid dan pelajar mengikuti kelas secara bersemuka.
“Apa yang penting ialah kesediaan ibu bapa dalam memberi peluang dan masa kepada anak-anak menyesuaikan diri dengan kandungan yang ada agar mereka tidak cepat bosan,” kata suri rumah itu kepada Bernama di sini semalam.
Dua anaknya iaitu Afrina Asma’ Alhannah Azhan, 17, yang bersekolah di Kolej Yayasan Saad, Melaka dan Ahmad Aqmarul Harraz Azhan, 14, pelajar Asas 2 di Kolej GENIUS@Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Raja Melewar, Seremban turut mengikuti sesi slot TV Pendidikan sekiranya berkelapangan, katanya.
“Sewaktu cuti sekolah yang lepas dan ketika PKP yang pertama, dua anak saya memang selalu berada di depan TV untuk mengikuti slot berkenaan kerana memang sudah dilatih sedari awal.
“Namun, apabila mereka sudah mula bersekolah, PdPR dalam talian dengan guru masing-masing adalah keutamaan mereka jadi saya mula aturkan jadual harian mereka agar tidak bertindih,” katanya yang mencadangkan agar slot TV Pendidikan turut disiarkan pada sebelah malam.
Wanita itu berkata berdasarkan pengalamannya, tidak akan berlaku pertindihan jadual sekalipun bagi keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah kerana jadual telah disusun oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Turut senada, Nahdatul Asyikeen Mohammad, 35, yang menyifatkan pembelajaran melalui slot TV Pendidikan lebih berkesan berbanding dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram.
“Penerangan yang diberikan cukup jelas dan sama seperti mana guru mengajar di dalam kelas. Mereka tidak hanya belajar semata-mata tetapi ada juga sesi soal jawab dan melakukan eksperimen sekali gus mereka lebih cepat memahami berbanding dengan kaedah memberi kerja sekolah melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram,” katanya yang menetap di Olak Lempit, Banting, dekat sini.
Menurut usahawan dalam talian itu, dua anaknya iaitu Izz Haiqal Qusyairy Mohd Zailani,10 dan Muhammad Zafran Amsyar Mohd Zailani,8; serta anak saudara Nur Sabrina Natasha Mohd Shahrizad,17, lebih selesa memberi perhatian ketika slot TV Pendidikan.
”Biasanya, apabila anak-anak dan anak buah saya tiada sesi PdPR bersama guru-guru mereka, mereka akan memanfaatkan waktu terluang itu dengan mengikuti silibus pelajaran di slot TV Pendidikan.
“Sebagai ibu, saya juga perlu peka dengan jadual waktu yang disediakan KPM agar tidak terlepas pandang,” katanya yang turut mencadangkan agar slot TV Pendidikan itu mempunyai salurannya tersendiri supaya PdP yang dijalankan lebih berfokus berdasarkan tahap pelajar.
Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan Beruas di Perak, Zaliyatunnur Awang Kechik, 36, mengambil pendekatan berkongsi jadual slot TV Pendidikan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp kelas anak-anak muridnya.
“Ia sebagai nota tambahan buat mereka, sekurang-kurangnya, mereka ada pilihan dan tidak ketinggalan mengikuti silibus pelajaran yang disediakan,” katanya.
Mengambil kira kekangan Internet di kawasan luar bandar, Zaliyatunnur berkata slot TV Pendidikan merupakan satu nilai tambah kepada anak muridnya memandangkan siaran televisyen dapat diakses oleh semua peringkat.
“Sekalipun program tidak menawarkan interaksi secara dua hala, saluran TV adalah medium paling sesuai untuk pengetahuan asas, namun KPM perlu lebih giat mempromosikannya kerana kerana hasil pemerhatian saya tidak ramai ibu bapa yang mengetahuinya,” katanya yang turut mencadangkan agar slot TV Pendidikan itu dibuat secara langsung dengan menjemput pakar-pakar dalam kalangan guru.
— Bernama