TV Sarawak dilancar 10 Okt – Abang Johari

TV Sarawak dilancar 10 Okt – Abang Johari

SIBU, 3 Okt — Sarawak akan melancarkan stesen televisyen sendiri dikenali sebagai TV Sarawak pada 10 Okt ini yang akan memaparkan kekayaan kebudayaan dan kesenian masyarakat pelbagai kaum yang terdapat di Bumi Kenyalang.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pelancaran stesen televisyen ini akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud sempena hari lahirnya pada tarikh tersebut.

“Sarawak akan mempunyai stesen televisyen sendiri dan boleh ditonton menerusi saluran 122 Astro. Ini membolehkan kita berhubung dengan orang luar dan orang luar dapat melihat apa yang ada di Sarawak. Semua program kita (terbitkan) sendiri,“ katanya semasa berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah Sarawak di sini, hari ini.

“Saya juga maklumkan kepada beliau (Tun Abdul Taib) bahawa TV Sarawak akan menyiarkan kembali Bintang P. Ramlee (program pertandingan) dan pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri menerusi TV Sarawak,” kata Abang Johari yang juga Presiden PBB.

Beliau berkata TV Sarawak juga akan menyiarkan keunikan kebudayaan dan kesenian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini serta mengetengahkan bakat anak-anak Sarawak yang mencipta nama, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This