UAE jangka pertembungan sengit dengan pasukan Harimau Malaya

UAE jangka pertembungan sengit dengan pasukan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR,. Pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) perlu bekerja keras merebut setiap peluang sekiranya berhasrat memperoleh tiga mata di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila berhadapan dengan pasukan Malaysia dalam perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, esok.

Ketua Jurulatihnya Bert Van Marwijk yang mengharapkan permulaan yang baik buat pasukan ranking dunia ke-65 itu mengakui bahawa anak buah Tan Cheng Hoe memiliki kualiti yang diperlukan untuk memberikan saingan sengit kepada pasukannya dalam perlawanan esok.

Menurutnya kejayaan pasukan Harimau Malaya menewaskan Indonesia dengan 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno Khamis lepas membuktikan keupayaan para pemain Cheng Hoe, dan Van Marwijk berkata ia boleh menjadi ancaman nyata buat pasukannya nanti.

“Mereka (Malaysia) memiliki keyakinan, kami sudah kaji mereka dengan baik.. kami juga berada di Indonesia dan lihat mereka bekerja keras dalam perlawanan itu. Mereka bermain dengan pantas, ada ramai pemain yang pantas yang dimiliki mereka.

“Kami perlukan tumpuan penuh dan kesungguhan… perlu ada disiplin ketat. Ia bukan sesuatu yang mudah tapi saya telah bersama dengan pasukan UAE sejak beberapa minggu lepas, dan saya juga menaruh keyakinan terhadap pasukan ini, tapi pastinya ia bukan perlawanan yang mudah,” katanya dalam persidangan media praperlawanan di sini malam ini.

Malaysia adalah pasukan pertama dari empat negara Asia Tenggara yang akan dihadapi oleh UAE dalam laluan negara itu untuk ke Piala Dunia FIFA 2022 serta Piala Asia AFC 2023.

Mengulas pertembungan sebelum ini yang menyaksikan UAE pernah menewaskan Malaysia dengan 10-0 di Stadium Mohammed Bin Zayed pada tahun 2015, Van Marwijk berkata ia tidak memberi apa-apa makna kepada perlawanan esok.

“Apa yang berlaku sebelum ini tidak lagi boleh diambil kira. Saya tidak pernah memikirkannya langsung,” kata warga Belanda yang berumur 67 tahun itu.

Malaysia kini berada di tempat teratas dalam Kumpulan G dengan tiga mata, mendahului Thailand dan Vietnam yang masing-masing meraih satu mata di tempat kedua dan ketiga, manakala UAE akan memulakan kempen mereka dalam saingan itu esok.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan UAE adalah pada Pestabola Merdeka 1982 dengan 2-1, selain satu lagi kemenangan 2-0 pada Piala Asia 1980. Selain itu pasukan negara kalah dalam sembilan perlawanan lain, dan seri sekali.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This