Ubah mentaliti untuk tingkat keberhasilan TVET – Maszlee

Ubah mentaliti untuk tingkat keberhasilan TVET – Maszlee

KUALA LUMPUR,. Keberhasilan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan hanya terletak pada aspek sistem, malah memerlukan perubahan mentaliti dan kerjasama erat dengan industri, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata reformasi sistem pendidikan TVET di negara ini harus mencontohi dan meneroka sistem pendidikan sama di Jerman, kerana menurutnya gelombang revolusi perinduatrian 4.0 (IR4.0) menuntut pembaharuan dalam perspektif serta cara berfikir, dan masyarakat Jerman dalam aspek ini pula adalah ’perfectionist’.

“Industri Jerman mahukan produk yang terbaik sahaja dan untuk memungkinkan perkara ini, industrilah yang turun (bantu) ke institusi dan merangka sistem pendidikan TVET yang diperlukan. Kita sedang gigih menggerakkan segalanya, ke arah TVET berasaskan industri.

“…urus tadbir, sistem, keterlibatan industri, kualiti dan penjenamaan, semuanya sedang digerakkan,” katanya dalam ucaptama pada majlis Menandatangani Perjanjian Sekunder Program Kolaborasi Industri (ICP) di Bangsar South, di sini hari ini.

Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Technology Depository Agency (TDA), Datuk Zailani Safari dan CEO Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Abdul Yazid Kassim.

Di bawah program ICP, pemain industri akan bekerjasama dengan bidang akademik untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan dan teknologi (R&T) serta pemindahan ilmu dari industri ke IPT.

Pada majlis itu, enam Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima geran penyelidikan dan geran biasiswa pasca siswazah dengan jumlah keseluruhan RM4 juta daripada beberapa pemain industri.

IPT berkenaan ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), UniKL Malaysian of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) dan Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This