Ucapan selamat hari lahir buat KP Kesihatan banjiri laman sosial

Ucapan selamat hari lahir buat KP Kesihatan banjiri laman sosial

KUALA LUMPUR, 21 April — Ribuan warga maya hari ini tidak melepaskan peluang menzahirkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran kepada Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram dibanjiri ucapan selamat dan titipan doa buat Ketua Pengarah Kesihatan itu yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 hari ini, di saat beliau sedang menjadi watak penting dalam barisan hadapan negara berjuang memerangi pandemik COVID-19.

Mendahului ucapan ialah Kementerian Kesihatan yang berkongsi video di Twitter membuat kejutan ringkas menyambut kelahiran Dr Noor Hisham pada ketika beliau menghadiri satu mesyuarat di kementerian itu hari ini.

Majlis Keselamatan Negara menerusi ciapan di laman Twitter rasminya tidak ketinggalan mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada Dr Noor Hisham.

“Semoga Datuk Dr Noor Hisham dilimpahkan rahmat, kesihatan dan dilanjutkan usia untuk terus berkhidmat kepada negara,” memetik kiriman berkenaan.

Tentera Laut Diraja Malaysia turut mendoakan kesejahteraan figura kelahiran Sepang, Selangor itu yang diiktiraf Stesen televisyen China, Global TV Network sebagai antara tiga doktor terbaik di dunia dalam memerangi wabak COVID-19.

“Happy birthday, Datuk @DGHisham ! Warga #NavyPeople mendoakan kesejahteraan buat Datuk dan semoga usaha @KKMPutrajaya (Kementerian Kesihatan) membendung wabak #COVID19 berjaya demi Malaysia tercinta,” demikian ciapan pihak itu di Twitter.

Ciapan di Twitter Malaysia Airports juga memberi ucapan selamat berserta reaksi balas kepada permintaan Datuk Dr Noor Hisham yang meminta rakyat Malaysia duduk di rumah sebagai hadiah terbaik buat hari kelahirannya, menerusi satu video yang tular di laman sosial, semalam.

“Happy birthday Datuk Dr Noor Hisham! We will stay at home for you and help flatten the curve.” (Selamat hari lahir Datuk Dr Noor Hisham! Kami akan duduk di rumah untuk anda dan membantu meratakan lengkung (COVID-19).

Tidak ketinggalan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendoakan beliau dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk menangani COVID-19.

“Selamat menyambut ulang tahun ke-57 kepada KP Kesihatan YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Semoga ditetapkan iman, dipanjangkan usia, diberikan kesihatan, diluaskan rezeki dan diberikan kekuatan untuk berjaya menangani wabak Covid-19 ini. We are proud of you! Carry on the good work (Kami bangga dengan anda. Teruskan usaha yang baik),” tulisnya di Twitter.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi ciapannya mendoakan agar Dr Noor Hisham berada dalam rahmat Allah SWT.

“Selamat menyambut ulang tahun kelahiran KP KKM, Datuk Noor Hisham Abdullah @DGHisham. Semoga dalam rahmat Allah sentiasa,” tulisnya.

Tidak ketinggalan mengambil kesempatan memberi ucapan kelahiran semestinya ribuan rakyat Malaysia yang menyanjung dan mengagumi karisma dan sifat kepimpinan terpuji Dr Noor Hisham.

“Happy Birthday (Selamat hari lahir) Datuk. Semoga Datuk diberkati & dirahmati Allah sentiasa, terima kasih atas segala keprihatinan dan dedikasi Datuk dalam menangani wabak COVID-19. Sama-sama kita akan berjuang dalam memutuskan rantaian COVID-19 ini sehingga berjaya. You are the best Doc (andalah yang terbaik doktor),” tulis pemilik akaun @HanaJesmin di Twitter.

Di Facebook, Norlizah Ithnean tidak mahu ketinggalan bersama ribuan warga maya lain memberikan ucapan kepada Ketua Pengarah Kesihatan itu.

“Happy Birthday Dr Noor Hisham, semoga sentiasa dirahmati Allah, dilindungi dan dipermudah segala urusan. Terima kasih kerana mengetuai barisan hadapan dan komited dalam usaha menangani pandemik yang membimbangkan masyarakat Malaysia. Terima kasih Dr,” tulisnya.

Di laman Instagram Bernamaofficial pula, warga maya menzahirkan ucapan terima kasih dan rasa kagum kepada Dr Noor Hisham yang memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia.

“Happy birthday Datuk Dr Noor Hisham, may you always be blessed. We are so blessed to have you as your Health Director General. Thank you very much to you and all our frontliners, (Selamat hari lahir Datuk Dr Noor Hisham, semoga anda diberkati. Kami bersyukur mempunyai anda sebagai Ketua Pengarah Kesihatan. Terima kasih kepada anda dan semua petugas barisan hadapan),” tulis Yatz_alan.

Beliau antara ribuan warga maya di laman sosial media rasmi Bernama yang menyampaikan ucapan, memberi tanda suka dan berkongsi ucapan dan doa bagi Dr Noor Hisham.

Kami di Bernama juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran buat beliau.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This