UCM AS cabuli undang-undang antarabangsa

KUALA LUMPUR,. Langkah paksaan sepihak (UCM) yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Venezuela adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan semata-mata bertujuan menggugat ekonomi dan kehidupan rakyat.

Kuasa Usaha Kedutaan Venezuela ke Malaysia, Morella Barreto López berkata langkah itu juga mencabuli Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu dan prinsip-prinsip hubungan antara negara.

“Objektif UCM adalah untuk menekan dan memaksa kerajaan Venezuela dan memutarbelitkan kehendak rakyat.

“UCM adalah langkah dan bukan sekatan kerana tiada sebuah negara pun mempunyai kekuatan fizikal untuk mengenakan sekatan ke atas pihak lain. Ia adalah ciptaan Amerika atas dakwaan mereka memiliki kuasa impirial (penjajahan),” katanya pada temu bual eksklusif bersama Bernama pada Isnin lalu.

Dalam sepucuk surat kepada Kongres AS Presiden Donald Trump mengatakan beliau mengenakan UCM kononnya “akibat perebutan kuasa oleh Presiden Venezuela Nicolás Maduro dan pihak yang bersepakat dengannya, pelanggaran hak asasi manusia, sewenang-wenangnya menangkap dan menahan rakyat Venezuela”.

Venezuela akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan AS di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana mengenakan UCM, yang disifatkan Caracas sebagai “jenayah kemanusiaan.”

Barreto berkata Venezuela kehilangan lebih US$120 bilion dolar sejak 2014 kerana lebih 300 UCM dikenakan AS.

“UCM menyebabkan hasil minyak Venezuela turun mendadak sebanyak 90 peratus kira-kira US $42 bilion dolar pada 2013 kepada US$4 bilion dolar pada 2018,” katanya.

Barreto berkata rakyat Venezuela terpaksa menanggung akibat daripada UCM ini, dengan 73 peratus belanjawan awam terpaksa diperuntukkan untuk memenuhi tuntutan sosial negara itu.

“Venezuela yakin… UCM merupakan ‘senjata pemusnah besar-besaran terhadap rakyat,” tambah beliau.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )