Udang gantung, lubuk rezeki nelayan Kampung Penarik tatkala musim tengkujuh

Udang gantung, lubuk rezeki nelayan Kampung Penarik tatkala musim tengkujuh

PERMAISURI,. Masih ada rezeki lain tersedia buat sekumpulan nelayan di sekitar Kampung Penarik dekat sini, meskipun tidak dapat turun ke laut berikutan fenomena musim tengkujuh yang mula melanda negeri pantai timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Udang gantung, spesies udang air tawar di Sungai Chalok menjadi lubuk rezeki bermusim buat nelayan di kampung yang terletak kira-kira 58 kilometer dari Kuala Terengganu ini, demi meraih pendapatan tatkala tibanya musim Monsun Timur Laut.

Mat Adnan Mohd Amin, 59, berkata udang gantung ini hanya muncul di sungai pada musim tengkujuh dan ia ditangkap menggunakan peralatan tradisional iaitu gogoh, sejenis perangkap diperbuat daripada buluh dan guni, yang berbentuk seumpama bubu.

“Spesies udang air tawar ini akan muncul di sungai terutama, Sungai Chalok pada musim tengkujuh. Ia dipanggil udang gantung kerana sifat semula jadinya yang merayap-rayap dan akan melekat atau tergantung pada pokok-pokok di sungai,“ katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Penarik di sini, baru-baru ini.

Menjelas lanjut mengenai kaedah menangkap udang itu, Mat Adnan anak jati kampung tersebut dan sedang menyara lima orang anak berkata, udang dan isi kelapa akan dimasukkan sebagai umpan ke dalam gogoh dan perangkap tersebut akan biarkan semalaman di celah-celah pokok di sungai berkenaan.

“Dalam sehari, saya mampu mendapat hasil sehingga 18 kilogram udang gantung yang terperangkap di dalam gogoh,” kata Mat Adnan yang mewarisi kepakaran menangkap udang gantung secara turun-temurun dari keluarganya.

Menurut beliau terdapat kira-kira lapan orang nelayan dari Kampung Penarik yang turut menjadikan udang gantung sebagai punca rezeki, setiap kali tiba musim tengkujuh dan hasil tangkapan bukan sahaja dijual kepada penduduk sekitar, malah peraih dan peniaga termasuk dari luar Setiu dengan harga antara RM18 hingga RM20 sekilogram.

Melalui aktiviti menangkap udang gantung yang dilakukan setiap pagi pada musim tengkujuh ini, beliau berjaya meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

“Setiap hari, lebih kurang 7 pagi saya akan menaiki sampan untuk menangkap udang gantung. Dua jam selepas itu saya akan pulang dengan hasil tangkapan dan kebiasaannya sudah ada pembeli yang menunggu di rumah atau telah menempah beberapa hari lebih awal,” katanya yang mempunyai 100 buah gogoh hasil buatannya sendiri.

Katanya, udang tersebut mendapat permintaan yang tinggi kerana rasanya lebih sedap berbanding spesies udang biasa yang terdapat di pasaran.

“Walaupun saiz udang gantung kecil, tetapi isinya lembut dan manis. Paling sedap dimasak gulai nasi dagang. Malah ia juga sangat lazat walau hanya direbus dengan nisang (gula melaka) dan sedikit garam,” katanya yang menjual udang itu dengan dibantu isteri, Rohani Embon, 58.

Sementara itu seorang penjual daging, Mohamad Yusof, 72, berkata beliau sanggup memandu sejauh 45 kilometer dari rumahnya di Jertih setiap hari, semata-mata ingin mendapatkan stok udang gantung dari nelayan-nelayan di Kampung Penarik.

Katanya, beliau akan membeli lebih 20 kilogram udang gantung setiap hari untuk dijual semula di gerainya yang terletak di Kampung Gong Kepas di Jertih.

“Memang udang gantung mendapat permintaan yang sangat tinggi kerana ia hanya boleh didapati pada musim tengkujuh. Lazimnya, 20 kilogram udang yang diletakkan di gerai pakcik akan habis terjual dalam masa tidak sampai sejam,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )