UKAS, RTM bekerjasama sampai maklumat sahih kepada rakyat – Menteri Muda Sarawak

UKAS, RTM bekerjasama sampai maklumat sahih kepada rakyat – Menteri Muda Sarawak

KUCHING, 13 Feb — Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan saling bekerjasama dalam usaha menyampaikan berita yang sahih kepada rakyat terutamanya di kawasan luar bandar, kata Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS Abdullah Saidol.

Beliau berkata perkara itu penting kerana sejak kebelakangan ini masyarakat sering ditaburkan dengan berita kurang tepat yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Di sinilah saya rasa RTM akan terus relevan sebagai saluran perdana kerajaan untuk menyalurkan berita sahih manakala UKAS pula yang mempunyai wakil di setiap daerah dan bahagian di Sarawak akan sentiasa mengikuti perkembangan rakyat, sekali gus menjadi tali penghubung di antara rakyat dan kerajaan.

“Pada masa yang sama, saya kira RTM dan UKAS perlu menyelami denyut nadi rakyat dengan menyalurkan berita mengenai kehidupan rakyat di desa dan luar bandar dari segi pembangunan dan sosioekonomi,” katanya pada sidang media sambutan Hari Radio Sedunia di RTM Kuching, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata seiring peredaran zaman dan teknologi, masyarakat sekarang mahukan pengisian yang terkini dan sesuai dengan jiwa mereka.

Oleh itu penyaluran maklumat yang tepat dan sesuai adalah perkara penting yang harus diambil kira oleh pengamal penyiaran, katanya.

Terdahulu, Abdullah merasmikan sambutan Hari Radio Sedunia anjuran RTM Sarawak yang bertemakan ‘SarawakFM Prihatin’ sebagai menghargai pengorbanan barisan hadapan ketika mengawal penularan pandemik COVID-19.

Pada program berkenaan, turut diadakan gotong-royong bersama kakitangan RTM Kuching di mana agihan ‘bubur pedas’ turut diberikan kepada anggota barisan hadapan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This