Umat Islam dinasihat elak pertelingkahan soal aliran,manhaj – Zulkifli
KUALA LUMPUR,. Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya mengelak daripada bertelingkah sesama sendiri dalam berhujah mengenai perbezaan aliran mahupun manhaj.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan yang menitipkan nasihat itu berkata perbalahan mengenainya sehingga mengenepikan kepentingan permasalahan ummah yang sebenar adalah tidak bermanfaat.
Beliau berkata banyak lagi masalah ummah yang boleh menjadi tumpuan, seperti isu kesihatan mental selain perkembangan teknologi AI (Kecerdasan Buatan).
“Kita rujuk kepada aspirasi nak wujudkan negara MADANI, negara aman, harmoni, saksama dan adil, jadi mari sama-sama kita ketepikan perbezaan itu sementara, tumpukan pemikiran untuk bangunkan negara dan cari penyelesaian masalah yang ada, masalah ekonomi dan sosial misalnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Bernama Radio dalam segmen Nota Rohani yang membincangkan tajuk Belanjawan 2025: Perkukuh Syiar Islam di Wisma Bernama di sini pada Jumaat.
Pada 2 Julai lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar membentangkan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan hal ehwal Islam di Dewan Rakyat antaranya ialah RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang seterusnya menjadi polemik di laman sosial.
RUU itu antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang sudut akidahnya bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.
Sementara itu mengulas mengenai peruntukan RM2 bilion bagi hal ehwal Islam di dalam Belanjawan 2025, Zulkifli berkata ia akan dimanfaatkan untuk memperkasa perkembangan syiar Islam.
“Ini termasuk perancangan inovasi agar syiar Islam itu menjadi model terbaik di seluruh dunia, memperkukuh status Malaysia sebagai peneraju sektor halal di dunia, memperkasa perundangan syariah termasuk bangunkan Akademi Perundangan Syariah Malaysia selain bangunkan kemudahan dan fasiliti keagamaan.
“Kita juga di peringkat Persekutuan akan terus perkukuhkan sinergi, kerjasama dengan kerajaan negeri yang bertanggungjawab secara langsung atas hal ehwal agama (negeri), dengan kerjasama jitu sahaja kita akan dapat melaksanakan tanggungjawab memperkasa Islam di seluruh negara dengan berkesan,” katanya.
— BERNAMA