UMNO bersama GRS perlu formula baharu perkasa politik Sabah

UMNO bersama GRS perlu formula baharu perkasa politik Sabah

KOTA KINABALU: UMNO Sabah perlu ada satu formula baharu bersama parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memperkasakan politik di negeri ini. Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu juga bagi memastikan senario politik di Semenanjung tidak akan berlaku di Sabah.

“Kita ada senario berbeza dengan Semenanjung. Walaupun UMNO di Semenanjung sudah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sehingga pilihan raya, namun kita di Sabah perlu membuat satu formula baharu bersama parti-parti dalam GRS.

“Kita kena pastikan apa yang berlaku di Semenajung, tidak akan berlaku di Sabah kerana kita mahu fokus ke arah membangunkan rakyat dan ekonomi Sabah,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri ini berkata demikian kepada media selepas majlis Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dirasmikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur hari ini.

Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia berkata, pihaknya sedar UMNO ketika ini dalam keadaan yang tidak begitu stabil ekoran kekalahan lalu dan ia membawa sedikit perubahan kepada UMNO.

Disebabkan situasi berkenaan, beliau menggesa semua pemimpin UMNO di semua peringkat termasuk ahli di setiap akar umbi supaya memperkasakan parti dan mengubah strategi baharu untuk memenangi hati rakyat.

“Dengan adanya strategi baharu ini, rakyat akan kembali melebarkan kekuasaannya dan sekali gus menjadikan UMNO sebagai parti dominan untuk memenangi pilihan raya akan datang.

“UMNO Sabah perlu bersolidariti dengan GRS kerana ini penting untuk memastikan mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu diguna pakai untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Menurutnya, Sabah sekarang ini jauh ketinggalan ditambah lagi dengan ancaman pandemik COVID-19 yang menyebabkan banyak syarikat, usahawan, industri perhotelan serta pelancongan terpaksa ditutup, gulung tikar dan lingkup.

Sehubungan itu Bung berkata, menjadi tanggungjawab GRS untuk membangunkan Sabah sekali gus kembali memperkasakan politik di negeri ini.

-UtusanBorneo

CATEGORIES
Share This