UMNO Sabah sah letakkan calon dalam PRK Kimanis

KOTA KINABALU,. UMNO Sabah pada Jumaat mengesahkan akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang bakal diadakan nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa nama dan akan diumumkan sebelum penamaan calon PRK berkenaan.

“Mesyuarat hari ini telah memutuskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon dalam PRK Kimanis dan kita telah mengenal pasti dua atau tiga calon dan kita akan mulakan gerak kerja kita untuk menghadapi PRK berkenaan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat UMNO Sabah di sini malam tadi.

Turut hadir pada mesyuarat berkenaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Mengulas mengenai ura-ura yang mengatakan bahawa bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, ingin bertanding mempertahankan kerusi parlimennya dalam PRK berkenaan atas tiket BN, Bung Moktar berkata UMNO Sabah terbuka mengenai perkara berkenaan.

“Spekulasi seperti itu memang ada…namun kalau dia (Anifah) benar-benar ingin menyertai UMNO kita boleh bincangkan kerana UMNO sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana pemimpin UMNO yang telah meninggalkan parti, tetapi kita perlu buat perbincangan secara terperinci.

“Kita tidak boleh menerima begitu sahaja kerana UMNO ini mempunyai sistem dan perlu dihormati semua pihak,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan parti pembangkang di Sabah untuk menghadapi PRK Kimanis, beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan dengan parti pembangkang lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Kita akan cuba berbincang dengan mereka kerana kita tidak mahu kita sesama pembangkang bertembung dalam PRK berkenaan…memandangkan ini adalah kerusi UMNO, maka bagilah laluan dengan UMNO,” katanya.

Ketika ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu perakuan daripada Mahkamah Persekutuan bagi mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan PRK di kawasan Parlimen Kimanis yang kini kosong susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Anifah selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket BN.

Pada PRU-14, Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )