UMNO terus desak Parlimen dibuka semula

UMNO terus desak Parlimen dibuka semula

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini memutuskan untuk mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang. Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu perlu dilaksanakan kerana ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bahawa persidangan boleh dilakukan sewaktu Darurat.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, UMNO bertegas bahawa kerajaan sedia ada tidak boleh dilihat sebagai cuba memandulkan amalkan demokrasi berparlimen.

“Parlimen dan DUN adalah medan semak dan imbang di kalangan wakil-wakil rakyat, agar kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati sehingga membelakangkan kepentingan rakyat.
“.. yang hari ini berdepan dengan pelbagai kesilapan dan kesempatan melibatkan ekonomi, pengangguran, kos sara hidup, dan harga barangan yang meningkat,” katanya lagi.

Terdahulu, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn hari ini bermula kira-kira 3 petang tadi. Ini merupakan mesyuarat MKT yang pertama diadakan sejak Perhimpunan Agung UMNO 2020 berlangsung pada Mac lepas.

Ahmad berkata, kegagalan mengadakan persidangan Parlimen akan menyebabkan keyakinan dan kepercayaan pelabur, terutama dari luar akan terus terhakis sekiranya tiada aspek good governance dari segi semak dan imbang dalam kerajaan.

Mengenai perkembangan pemilihan parti, Ahmad berkata, MKT akan menghantar surat kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Beliau berkata surat itu bertujuan untuk meminta nasihat dan pandangan tentang bagaimana pemilihan dijalankan selaras Perlembagaan UMNO dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Ini bagi memastikan proses pemilihan yang melibatkan mesyuarat perwakilan UMNO Cawangan-cawangan termasuk sayap Wanita, Pemuda, dan Puteri berjumlah 66,287 di semua 181 bahagian melibatkan 3.3 juta ahli dengan berkesan, mangambil kira jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat,” katanya lagi.

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )