UMNO tidak akan jalin semula hubungan dengan parti bermuslihat – Ahmad Zahid

UMNO tidak akan jalin semula hubungan dengan parti bermuslihat – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA,. Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO tidak berhasrat untuk menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi serta beberapa tindakan yang tidak dialu-alukan, kerana penuh dengan muslihat.

“Mana-mana pemimpin dan parti yang sangat bermuslihat, saya tidak fikir kita (UMNO) harus revisit hubungan itu,” katanya ketika ditanya pemberita untuk mengulas laporan Pas masih terbuka untuk meneruskan agenda penyatuan ummah bersama UMNO.

Beliau ditemui media selepas majlis makan malam bersama duta dan wakil dari 29 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di sini malam ini.

Dilaporkan hari ini Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Pas masih mengambil sikap sedemikian, memandangkan ummah khususnya orang Melayu masih memerlukan penyatuan.

Reaksi Tuan Ibrahim itu adalah sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang menyatakan keperluan supaya semangat Muafakat Nasional (MN) dihidupkan kembali, khususnya membabitkan dua parti itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This