Umrah belum dibenarkan, MOTAC siasat iklan meragukan

Umrah belum dibenarkan, MOTAC siasat iklan meragukan

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menyiasat iklan pakej umrah yang meragukan kerana rakyat Malaysia belum dibenarkan melaksanakan ibadah tersebut selepas COVID-19 melanda.

MOTAC turut menegaskan syarikat pengendali umrah dilarang mengambil bayaran untuk sebarang pakej umrah, selain menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap tawaran meragukan sehingga kerajaan membenarkan ibadat itu dilaksanakan kelak.

“Buat masa ini, kementerian masih berpegang kepada dasar sedia ada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang tidak membenarkan perjalanan keluar negeri bagi tujuan tidak penting, khususnya aktiviti pelancongan.

“Dalam hal ini, aktiviti umrah yang dikawal selia di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) turut tidak dibenarkan.

“Sehingga perubahan dasar kerajaan ini dibuat, sebarang aktiviti melibatkan umrah adalah masih dilarang sehingga diumumkan kelak,” menurut MOTAC dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, kerajaan melalui Kementerian Luar telah berbincang dengan kerajaan Arab Saudi dalam usaha menggerakkan semula pemulihan ekonomi kedua-dua negara susulan pandemik COVID-19, termasuk kemungkinan membenarkan aktiviti umrah melibatkan rakyat Malaysia walaupun sebelum vaksin wabak itu ditemui.

Pada 23 September lepas, Arab Saudi mengumumkan penerimaan semula jemaah umrah dunia secara berperingkat yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat selepas menggantung visa ibadah tersebut pada Februari lepas akibat pandemik COVID-19.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This