Undi18: PBB susun strategi dekati pengundi muda sebagai persiapan hadapi PRU15

Undi18: PBB susun strategi dekati pengundi muda sebagai persiapan hadapi PRU15

SIBU,. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menyusun strategi dan bekerja keras dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk mendekati para pengundi berusia 18 tahun sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang.

Naib Presiden PBB merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee berkata strategi mendekati pengundi lingkungan usia itu secara keseluruhannya adalah berbeza berbanding strategi mendekati pengundi lebih berumur.

Menurutnya ia perlu dilakukan dengan lebih kerap dan konsisten untuk memastikan keberhasilan yang tinggi.

“Namun mereka tidak sukar untuk diyakini, dan tidak sukar untuk memberitahu mereka perancangan yang hendak kita lakukan kerana mereka sebenarnya sangat mudah menerima apa yang berlaku di sekitar mereka,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Penghargaan Media di sini malam tadi.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Dis menyatakan pendaftaran secara automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas berkuat kuasa pada 15 Dis lepas.

Dr Annuar yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Nangka untuk penggal ketiga pada pilihan raya negeri Sarawak ke-12 (PRN12) lepas dengan majoriti lebih 10,000 undi berkata beliau bersyukur kerana kemenangan itu bukan dicapai dengan mudah.

Katanya untuk mengekalkan majoriti besar itu pada PRN yang akan datang bukanlah sesuatu yang mudah dan sekiranya aktiviti kempen tidak bersemuka dengan pengundi menjadi norma, PBB terpaksa bekerja dengan lebih keras dari awal.

“Pilihan raya kali ini adalah sangat berbeza kerana tidak mudah untuk berjumpa secara terus dengan pengundi kerana kita mematuhi ketat SOP. Bagi PBB kekuatan kita ialah berkempen dari rumah ke rumah, jadi dengan adanya SOP, sukar untuk kita sampaikan perancangan kita kepada mereka.

“Meskipun kita ada berkempen secara maya, kita tidak tahu sejauh mana keberkesanannya kerana tidak semua orang mempunyai akses kepada Internet,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This