Uniknya Bumi Pasir Salak, Tetap Memahat Sejarah Tersendiri

Uniknya Bumi Pasir Salak, Tetap Memahat Sejarah Tersendiri

BUMI Pasir Salak sebenarnya amat sinonim dengan dunia kepahlawanan Melayu di tanah air ini yang menentang kezaliman penjajahan kolonial sebelum merdeka dan menjadi tanda kebangkitan rakyat semakin semarak ketika itu.

Dato’ Maharaja Lela yang menjadi lambang kebanggaan masyarakat di kawasan tersebut khasnya dan negara ini umumnya tidak pernah lekang menitipkan pesanan perlunya rakyat bersatu padu menentang kezaliman supaya keharmonian dan keamanan terus wujud.

Semangatnya itu tidak pernah padam sehingga hari ini apabila orang Melayu dan Islam mula bangkit apabila maruah bangsanya serta kesucian agama Islam mula diracik-racik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ditunjangi oleh Dap, yang tidak pernah berlaku sejak lebih 60 tahun bumi Tanah Melayu ini merdeka di bawah naungan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada November tahun lalu, buat julung kali rakyat tanpa mengira idealogi politik, latar belakang bangsa dan agama hadir ke Himpunan Perpaduan Ummah bagi bersama-sama berkumpul di Kampung Gajah, Pasir Salak untuk menyatukan fikrah dan keutuhan kaum Melayu serta Bumiputera dalam menjaga hak-haknya sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan Raja-raja Melayu.

Himpunan yang dihadiri lebih 30 ribu rakyat itu juga merupakan penentangan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang secara jelas dizahirkan bagi menggesa kerajaan agar tidak tunduk kepada desakan-desakan segelintir pihak yang mahu ianya diratifikasikan.

Bahkan menjadi satu sejarah negara apabila ia menyatukan pemimpin utama UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang serta barisan kepimpinan di peringkat pusat, negeri mahupun tempatan.

Semalam, di malam ambang merdeka, bumi Pasir Salak kembali bergema dengan laungan ‘Hidup Melayu’, ‘Hidup Islam’ dan takbir dari puluhan ribu suara dalam Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0 di dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik, Pasir Salak.

Tambah istimewa, ia juga merupakan acara di majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak yang diketuai Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang bersidang pada hari ini, 31 Ogos, juga hari ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-62. Dalam mesyuarat tersebut lebih tujuh ratus perwakilan yang bersidang sebulat suara bersetuju dengan usul penyatuan ummah.

Sejarah kembali terpahat, bukan sahaja dengan hampir 50 ribu rakyat hadir ke bumi Pasir Salak, malah ia turut dihadiri pemimpin-pemimpin tertinggi dari dua parti terbesar orang Melayu Islam di negara ini, yang turut menyampaikan ucapan dengan penuh semangat.

Selain Dr Ahmad Zahid, hadir sama bekas Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang kini sinonim dengan gelaran ‘Bossku’, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad. Begitu juga dari PAS, diwakili Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan Yang Dipertua PAS kawasan Ustaz Mustafa Shaari.

Uniknya perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak, ia disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa. Dalam ucapan aluannya, Tajuddin selaku tuan rumah majlis mengatakan UMNO dan PAS tetap bangkit demi mempertahankan kesucian agama Islam serta maruah orang Melayu tetap terbela. Terdahulu ribuan orang ramai yang hadir bersama-sama pemimpin UMNO dan PAS menunaikan solat Maghrib secara berjemaah diikuti solat hajat dan disambung dengan tazkirah ringkas oleh pendakwah bebas Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin serta solat Isyak.

Momen paling istimewa Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0 malam tadi ialah ribuan umat Islam yang hadir telah bersama-sama mengaminkan doa yang dipimpin oleh Dr Ahmad Zahid.
Dalam doanya, Dr Ahmad Zahid memohon ke hadrat Allah S.W.T agar negara ini terus diberi keamanan, penuh kemakmuran dan sentiasa berada dalam kerahmatan. Turut dipohon agar penyatuan ummah yang diusahakan akan menjadi penyatuan dan perpaduan yang ikhlas berlandaskan kepada akidah, keimanan serta keikhlasan. – UMNO ONLINE

CATEGORIES
Share This