UNIMAS mampu terajui penyelidikan biodiversiti negara – Khaled

UNIMAS mampu terajui penyelidikan biodiversiti negara – Khaled

KUCHING,. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mampu menjadi institusi pengajian tinggi yang menerajui penyelidikan berkaitan biodiversiti negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC) UNIMAS perlu bersedia bekerjasama serta berkongsi hasil penyelidikannya dengan insititut biodiversiti yang terdapat di universiti tempatan lain bagi memastikan impak penyelidikan yang besar dan bermakna kepada Malaysia.

“Kekuatan UNIMAS ini pada penyelidikan biodiversitinya, mengambil kira keluasan Sarawak serta potensi bagi menjayakan disiplin biodiversiti di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke UNIMAS hari ini.

Mohamed Khalid berkata Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengkaji dalam membentuk hala tuju serta kerjasama antara universiti bagi mengoptimumkan usaha penyelidikan.

“Perlu ada kerjasama atau jika tidak, penyelidikan akan bertindih dan ia akan menjadi pembaziran sumber. Contohnya di UNIMAS ada 10 pakar dan di Universiti Malaysia ada lima pakar, kenapa kita tidak gabungkan mereka dan bekerjasama demi kepentingan negara, jadi ini yang kena dibincangkan kementerian,” katanya.

Mohamed Khaled berkata lawatan itu yang juga lawatan sulungnya sejak menyandang jawatan Menteri Pendidikan Tinggi, bertujuan membincangkan pencapaian dan hala tuju UNIMAS serta kaedah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This