Unit ACO terima kemudahan pinjaman bertempoh HSBC Amanah

Unit ACO terima kemudahan pinjaman bertempoh HSBC Amanah

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Anak syarikat milik penuh Aco Group Bhd, Actgen Industry Sdn Bhd menerima kemudahan pinjaman bertempoh bernilai RM9.05 juta daripada HSBC Amanah Malaysia Bhd.

Kemudahan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian baki tempoh pajakan belum tamat selama kira-kira 40 tahun yang berakhir pada 31 Jan 2060 bagi sebidang tanah perindustrian pegangan kekal di Johor Bahru, berserta bangunan, kilang dan gudang yang berjumlah RM10.65 juta.

Baki jumlah pertimbangan belian itu akan dibiayai menerusi penjanaan dana dalaman kumpulan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengedar produk dan aksesori elektrik itu berkata kemudahan pinjaman bertempoh itu akan meningkatkan nisbah tahap kadar hutangnya daripada 0.64 kepada 0.85 kali.

Dalam pengumuman berasingan, Aco berkata ia kembali mencatatkan keuntungan dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.1 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 2021 berbanding kerugian selepas cukai berjumlah RM1 juta pada tahun kewangan 2021.

Perolehan pula melebihi dua kali ganda kepada RM26.8 juta daripada RM11.8 juta sebelum ini.

“Keseluruhan operasi kami telah kembali seperti pada tahap pra Perintah Kawalan Pergerakan dan pesanan jualan kembali normal pada suku kedua 2021.

“Momentum pemulihan adalah menggalakkan dan kami menuju ke arah matlamat strategik jangka panjang,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Ir. Tang Pee Tee @ Tan Chang Kim.

Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.3 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2021.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This