Unit PPB peroleh kontrak Petronas Carigali bernilai RM36 juta
KUALA LUMPUR,. Unit Perdana Petroleum Bhd (PPB), Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB) telah memperoleh dua kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd, masing-masing bernilai RM18 juta untuk menyediakan dua unit kapal bekalan tunda pengendalian sauh (AHTS).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PPB berkata PNSB akan menyediakan kapal AHTS dengan kru dan peralatan untuk melaksanakan perkhidmatan selama 24 jam bagi membantu dan menyenggara pelantar penggerudian, pemasangan di luar pantai, kapal derrick barge, kapal penunda dan kapal berlabuh.
“Tempoh tamat kontrak adalah sehingga 365 hari daripada tarikh ia mula dilaksanakan,” katanya.
PPB berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih kumpulan PPB bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2019 dan selepas itu dalam tempoh kontrak.
“Kontrak berkenaan tidak akan memberi kesan kepada modal syer dan struktur pemegang saham PPB,” katanya.
— BERNAMA