
United tetap kompetitif beli pemain
MANCHESTER,. Ed Woodward menegaskan Manchester United akan menyokong Ole Gunnar Solskjaer pada fasa perpindahan pemain walaupun sebelum ini timbul keraguan mengenai kekuatan kewangan kelab disebabkan pandemik COVID-19.
Sama seperti kelab Liga Perdana yang lain, United mungkin perlu memikirkan kembali rancangan pembelian mereka selepas bola sepak ditangguhkan kerana krisis kesihatan itu.
Kini ada keraguan serius sama ada musim 2019/20 akan bersambung tetapi ia tidak menghalang khabar angin berterusan bahawa United merancang pembelian dengan rekod dunia bagi mendapatkan bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho.
Pemain Aston Villa, Jack Grealish mungkin seorang lagi pembelian besar dikaitkan dengan United namun Woodward pada mulanya menimbulkan keraguan mengenai pembelian besar kelab itu musim panas ini.
Bercakap kepada peminat menerusi forum, Jumaat lalu, Woodward berkata: “sesiapa sahaja sedar mengenai cabaran besar dalam bola sepak dan ia bukan lagi ‘berjalan seperti biasa’ buat mana-mana kelab, termasuk kami dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini.
“Ketika keutamaan kami ialah kejayaan pasukan, kami perlu melihat kesannya kepada keseluruhan industri, termasuk fasa perpindahan, dan gambaran meluas mengenai kewangan, sebelum kami bercakap untuk kembali kepada normal.”
Bagaimanapun dalam forum yang sama, Woodward menjelaskan kelab berkenaan akan menjadi kompetitif dalam pasaran perpindahan pemain.
“Ia sentiasa keutamaan kami untuk menguatkan pasukan dan membantu apa yang sudah Ole capai dalam aspek yang boleh membawa kami kembali ke persada,” kata Woodward. – Agensi