Untung bersih IJM Corp pada 2020 susut kepada RM250.6 juta

KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih IJM Corp Bhd menyusut ketara kepada RM250.59 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2020 daripada RM418.91 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan bagaimanapun menokok kepada RM6.6 bilion daripada RM5.65 bilion sebelum ini berikutan sumbangan lebih tinggi daripada bahagian pembinaan, pembangunan hartanah, perladangan dan infrastruktur, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurutnya, penyusutan keuntungan bersih adalah disebabkan pendapatan lebih rendah bagi bahagian pembinaan, pembuatan dan pengkuarian, perladangan dan infrastruktur.

Mengenai masa depan, IJM Corp berkata ia menjangkakan tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2021 adalah mencabar berikutan persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah.

“Syarikat ini menjangkakan implikasi gangguan pandemik COVID-19 kepada keadaan keseluruhan pasaran serta harga komoditi yang tidak menentu dan turun naik kadar pertukaran asing,” katanya.

Menurutnya, bahagian pembinaan diramal terjejas akibat pasaran hartanah yang lembap dan pengurangan perbelanjaan infrastruktur kerajaan serta ketersediaan kerja-kerja pembinaan baharu di pasaran tempatan.

“Pengurangan kewujudan kerja-kerja pembinaan baharu di pasaran tempatan dijangka turut memberi impak kepada bahagian industri syarikat,” katanya.

IJM Corp berkata bahagian hartanah dijangka mencatatkan jualan dan prestasi tahun kewangan 2021 yang lebih rendah sejajar dengan unjuran sentimen lemah bagi industri hartanah dalam jangka terdekat dan sederhana kerana pembeli mengamalkan sikap tunggu dan lihat berikutan kelembapan unjuran ekonomi dan ketidaktentuan sektor pekerjaan.

“Bahagian perladangan akan terus berdepan tekanan kos akibat peningkatan upah, impak kos pandemik COVID-19 dari segi kesihatan dan keselamatan, selain ketidakpastian harga komoditi dan turun naik kadar pertukaran asing, terutamanya rupiah Indonesia berbanding dolar US dan yen Jepun,” katanya.

IJM Corp berkata operasi tolnya dijangka menerima impak akibat sekatan keluar masuk susulan pandemik di Malaysia dan India pada pertengahan Mac 2020 dengan pemulihan aliran trafik secara berperingkat dijangka kembali ke tahap pra-COVID-19, selepas suku pertama tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2021.

“Bagaimanapun, operasi pelabuhan syarikat ini dijangka memberikan aliran perolehan dan pendapatan yang berulang memandangkan konsesi pelabuhan sedia ada menjadi matang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )