Untung bersih KLCCP bagi tahun kewangan 2021 naik kepada RM495.85 juta

Untung bersih KLCCP bagi tahun kewangan 2021 naik kepada RM495.85 juta

KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih KLCCP Stapled Group (KLCCP) meningkat kepada RM495.85 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 daripada RM432.17 juta bagi tahun kewangan 2020.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, ia menyatakan perolehan bagaimanapun turun 5.5 peratus kepada RM1.17 bilion daripada RM1.24 bilion sebelum ini berikutan perolehan yang rendah dalam segmen pelaburan hartanah-runcit dan operasi hotel.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2021, KLCCP mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM70.33 juta berbanding kerugian bersih RM41.84 juta pada suku keempat tahun kewangan 2020, manakala perolehan meningkat 14.3 peratus kepada RM348.17 juta daripada RM304.71 juta sebelum ini.

Katanya Suria KLCC dan podium runcit Menara 3 Petronas yang mewakili segmen runcit menyaksikan lonjakan perolehan sebanyak 21.7 peratus kepada RM120 juta, manakala keuntungan sebelum cukai menokok 34.4 peratus kepada RM87.2 juta, antaranya dipacu peningkatan jualan sewaan serta pendapatan iklan yang tinggi.

KLCCP berkata bagi segmen hotel, Mandarin Oriental Kuala Lumpur mencatatkan penambahbaikan yang memberangsangkan melalui perolehan tertinggi pada suku keempat tahun kewangan 2021 sebanyak RM23 juta berbanding RM9.7 juta pada suku keempat tahun kewangan 2020, didorong peningkatan penghunian dan prestasi segmen makanan dan minuman yang lebih baik.

Katanya bagi segmen perkhidmatan pengurusan, perolehan meningkat 17.3 peratus terutamanya melalui perkhidmatan tambahan bagi pengurusan kemudahan, dan pendapatan yang lebih tinggi untuk tempat letak kereta, seiring dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi.

Mengenai prospek, KLCCP berkata momentum segmen perniagaannya dijangka terus mencatatkan pemulihan berikutan peningkatan keyakinan pengguna susulan liputan kadar vaksinasi negara yang tinggi dan usaha pelaksanaan dos penggalak yang sedang dijalankan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This