UPKO bantu calon Warisan dalam PRK Parlimen Kimanis

UPKO bantu calon Warisan dalam PRK Parlimen Kimanis

RANAU,. Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata parti itu telah bersedia untuk membantu calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang akan diadakan pada 18 Jan depan.

Beliau berkata UPKO telah mengadakan mesyuarat dan melantik jentera PRK bagi memastikan setiap ahli UPKO di Parlimen Kimanis akan keluar mengundi pada hari pengundian dan memilih calon kerajaan.

“Tumpuan kita adalah untuk memastikan setiap ahli UPKO di kawasan itu akan keluar mengundi dan akan mengundi calon daripada kerajaan (Warisan).

“Terdapat kira-kira 2,000 ahli UPKO di kawasan itu dan kita akan pastikan mereka akan keluar mengundi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Majlis Rumah Terbuka Krismas UPKO, di Dewan Masyarakat Ranau, di sini hari ini.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata peluang itu juga akan diambil untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mengurangkan kekeliruan dalam kalangan rakyat bagi mengekalkan keharmonian yang sedia ada.

Beliau berkata tahun depan adalah cabaran bagi UPKO dalam usaha membantu kerajaan negeri melonjakkan pembangunan dan ekonomi Sabah.

Pada 16 Dis lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan depan manakala penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan dan pengundian awal akan dilaksanakan pada 14 Jan.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This