UPM di kedudukan ke-28 dalam ‘UI-GreenMetric World University Ranking’

UPM di kedudukan ke-28 dalam ‘UI-GreenMetric World University Ranking’

KUALA LUMPUR,. Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tangga ke-28 bagi ‘UI-GreenMetric World University Ranking 2020 Top 50 Sustainable Universities’ untuk muncul universiti terbaik Malaysia dalam senarai itu, sekali gus mengekalkan kedudukannya bagi tempoh 11 tahun berturut-turut.

Dalam ranking yang dikeluarkan pada 7 Dis itu, UPM juga disenaraikan sebagai universiti tiga teratas di peringkat Asia.

Naib Canselor UPM Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata kejayaan itu merupakan komitmen UPM terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.

“UPM akan terus berusaha untuk menjadi sebuah kampus yang bukan sahaja memfokuskan pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi berperanan sebagai sebuah institusi ilmu yang melahirkan insan yang cakna terhadap pemuliharaan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

UI-GreenMetric World University Ranking melibatkan 922 universiti dari pelbagai negara dan dinilai melalui enam skop utama iaitu infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan pendidikan.

Dalam ranking itu, universiti-universiti dari Amerika Syarikat dan Eropah mendominasi ranking 20 teratas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )