UPNM tangguh pendaftaran secara fizikal pelajar, laksana pendaftaran dalam talian

KUALA LUMPUR,. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menangguhkan pendaftaran serta kemasukan pelajar baharu Program Sarjana Muda dan pelajar lama secara fizikal bagi sesi akademik 2020/2021 berikutan kes COVID-19 yang kian meningkat.

UPNM dalam kenyataannya memaklumkan selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), penangguhan pendaftaran secara fizikal pada Sabtu dan Ahad lepas dilaksanakan serta pendaftaran pelajar secara dalam talian dilakukan melibatkan 920 orang pelajar Sarjana Muda.

“UPNM terus fokus kepada aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian. Ini termasuklah program-program khas dalam talian untuk pelajar baharu.

Daripada jumlah itu, seramai 58 penuntut awam sudah mendaftar secara fizikal memandangkan mereka datang dari jauh serta berada di sekitar Kuala Lumpur dan ia dilakukan mengikut garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Dalam pada itu, UPNM memaklumkan Mod PdP dalam talian ini akan diteruskan mengikut kesesuaian dan keadaan semasa COVID-19 dan pelajar akan dibenarkan kembali ke kampus sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Selain itu sebagai langkah keselamatan, kakitangan UPNM diminta menangguhkan sebarang lawatan atau perjalanan ke kawasan berisiko tinggi dan mereka yang pulang daripada kawasan berkenaan, perlu memaklumkan maklumat perjalanan dan melakukan kuarantin kendiri di rumah.

Kenyataan itu turut memaklumkan , pensyarah dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPNM juga bergerak aktif dalam memberikan sokongan moral serta bantuan kebajikan kepada pelajar terjejas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )