Usaha padam kebakaran hutan di Alaska telan kos AS$300 juta pada 2019

Usaha padam kebakaran hutan di Alaska telan kos AS$300 juta pada 2019

SAN FRANCISCO,. Negeri Alaska di Amerika Syarikat telah membelanjakan kira-kira US$300 juta dalam usaha memadam kebakaran hutan pada 2019, termasuk satu insiden berhampiran kawasan kediaman, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan sebuah akhbar harian pada Ahad.

Bahagian Perhutanan Alaska telah mencatatkan sejumlah US$224.9 juta dalam usaha memadam kebakaran hutan yang melanda kawasan seluas lebih 2.68 juta ekar (kira-kira 10,846 kilometer persegi) di seluruh negeri itu, lapor Anchorage Daily News (ADN) memetik kenyataan Pusat Penyelarasan Antara Agensi Alaska (AICC).

ADN berkata kos itu tidak termasuk kerugian yang dialami penduduk Alaska akibat kebakaran tanah dan rumah mereka.

Perbelanjaan bagi usaha memadam kebakaran hutan tahun ini membabitkan jumlah US$72 juta yang dilaporkan Jabatan Dalam Negeri AS dan US$7 juta oleh Perkhidmatan Hutan AS, menurut ADN.

Cuaca panas dan kering paling tinggi pernah dicatat pada musim panas ini telah mengakibatkan beberapa kebakaran besar berhampiran kawasan kediaman di negeri itu seperti Swan Lake yang berlanjutan selama beberapa bulan di Semenanjung Kenai di selatan Alaska, menurut laporan akhbar.

Menjelang 23 Nov 2019, AICC melaporkan sejumlah 719 kebakaran hutan di negeri itu dengan 372 daripadanya adalah disebabkan panahan kilat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This