USIM: Tiga lagi kategori pelajar dibenarkan ke kampus

USIM: Tiga lagi kategori pelajar dibenarkan ke kampus

SEREMBAN,. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersetuju membenarkan tiga lagi kategori pelajar ke kampus, secara berperingkat mulai 20 Julai ini.

Naib Canselor Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, ia merupakan tambahan kepada lima kategori pelajar yang telah diberi kebenaran pada Mei lepas, menjadikan keseluruhannya lapan.

Tiga kategori pelajar berkenaan ialah pelajar tahun satu hingga empat dalam bidang pengajian yang memerlukan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus, serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan badan profesional.

“Ini meliputi pelajar daripada fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pergigian (FPg), Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), dan Kepimpinan dan Pengurusan (FKP),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata dua lagi kategori ialah pelajar tahun satu hingga empat, yang tidak mempunyai akses internet atau persekitaran kondusif seperti ruang belajar yang sempit atau keadaan yang tidak selesa bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, secara maya.

“Satu lagi ialah pelajar antarabangsa yang dibenarkan masuk, sekiranya berdaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services (EMGS) dan mendapat kebenaran masuk ke Malaysia, oleh Jabatan Imigresen Malaysia serta perlu menjalani ujian ‘Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR)’ atau ‘Rapid Test Kit’ (RTK) Antigen, tiga hari sebelum memasuki Malaysia dengan kos ditanggung pelajar.

“Pelajar dikehendaki menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di pintu masuk negara ini, dan seterusnya menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang akan ditetapkan oleh USIM,” katanya.

Mohamed Ridza berkata, kesemua tiga kategori pelajar berkenaan akan dihubungi oleh pihak fakulti masing-masing, untuk kembali ke kampus bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran.

Dalam pada itu, USIM katanya turut bersetuju kemasukan sepenuhnya pelajar ke kampus pada Semester I, Sesi Akademik 2020/2021 pada Oktober, kecuali mereka yang terlibat dengan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio, peralatan khusus, peperiksaan badan professional dan aktiviti yang ditentukan oleh pihak fakulti, adalah perlu kembali ke kampus untuk mengikuti sesi tersebut secara bersemuka.

“Pelajar selain daripada kategori yang dinyatakan, sesi pengajaran dan pembelajaran bagi program pelajar tersebut akan dilaksanakan secara maya sehingga 31 Dis 2020,” katanya dan menambah, pelajar boleh membuat permohonan penginapan di kolej kediaman pada bulan Julai sehingga cuti semester II, sesi akademik 2019/2020 di Pusat Perumahan Pelajar USIM dan ia tertakluk kepada kekosongan unit kediaman.

Pada 25 Mei lepas, lima kategori pelajar yang dibenarkan ke kampus ialah pelajar siswazah mod penyelidikan; pelajar semester akhir peringkat Sarjana Muda, yang terlibat dengan kerja-kerja di makmal dan klinikal; dan pelajar semester akhir peringkat Sarjana Muda, yang tidak mempunyai akses internet yang diperlukan, dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara maya.

Serta pelajar baharu peringkat Tamhidi bagi sesi kemasukan 2020/2021; dan pelajar baharu peringkat Sarjana Muda dan siswazah bagi sesi kemasukan 2020/2021.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This