Usul undi percaya akan dibentang di Parlimen, tidak perlu mendesak PM Muhyiddin

Usul undi percaya akan dibentang di Parlimen, tidak perlu mendesak PM Muhyiddin

 

Oleh:Mohd Ridzal Abdullah 

 

LAHAD DATU, Aug 6 2021: Pihak pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diminta agar menerima keputusan DYMM Yang di-Pertuan Agong,Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mutafa Billah Shah yang telah memperkenankan cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar usul undi percaya dibawa dan dibentang di parlimen pada bulan September.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Abdul Hakim Gulam Hassan berkata pihak-pihak berkenaan yang masih mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pelbagai kenyataan, jelas membelakangkan keputusan yang telah dibuat oleh YDP Agong.

Abdul Hakim berkata sepatutnya pihak Anwar Ibrahim atau Zahid Hamidi tidak perlu terburu-buru dan membawa usul undi percaya di Parlimen yang akan dibuat dalam masa terdekat pada bulan September nanti.

Ini katanya jelas sangat menganggu kelancaran proses untuk menangani masalah pandemik COVID-19, kes semakin tinggi setiap hari ,varian baharu dikesan dengan kes sporadik bertambah, namun pihak pembangkang ujarnya tidak langsung memikirkan nasib rakyat yang dalam ketakutan dan kesusahan.

Hakim dalam pada itu berterima kasih kepada pucuk pimpinan terutama sekali Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan menteri kabinet kerana mampu menangani tekanan kuat di saat kesibukan untuk menyusun atur segala usaha untuk menghapuskan penularan COVID-19 di negara ini dan memilih untuk mementingkan kepentingan rakyat berbanding bertelagah dalam gelanggang politik.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuktikan bahawa kerajaan pimpinan mereka adalah telus dan berani untuk membawa usul undi percaya, maka tidak timbul persoalan mengenai isu ini,”ujarnya.

“Tidak kita lupa juga pihak barisan hadapan “frontliners” yang bertungkus lumus setiap hari berusaha untuk mengekang pandemik ini dan mengurus pesakit-pesakit dan kontak rapat kes, tidak mudah bagi mereka menghadapi ini semua, maka saya menyeru agar kita berehat dulu politik yang menekan semua pihak ketika ini, sehingga bulan September.” katanya.

Hakim juga mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar pandemik ini segera tamat dan kehidupan akan kembali kepada normal seperti sebelum ini.

 

CATEGORIES
TAGS
Share This