Utamakan keperluan berbanding kehendak
SEREMBAN,. Orang ramai di negeri ini dinasihatkan menjadi pengguna ber-disiplin dan hanya membeli barang mengikut keperluan sekali gus dapat memendekkan tempoh berada di premis perniagaan susulan pelaksanaan operasi had maksimum dua jam (OPS HAD 2J), Rabu lepas.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, sehubungan itu mereka digalakkan merancang dan menyenaraikan barangan yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum ke premis perniagaan.
“Pada masa ini, pengguna perlu elakkan diri datang ke pusat beli-belah dan pasar raya hanya untuk bersantai selain menangguhkan pembelian yang sekadar memenu-hi kehendak semata-mata.
“Ia dapat mengurangkan interaksi dengan orang ramai sekali gus mampu me-ngurangkan penularan jangkitan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempena OPS HAD 2J di sebuah pasar raya di sini, semalam.
Beliau berkata, hasil pemantauan yang dijalankan KPDNHEP negeri secara rambang terhadap 172 individu yang mengunjungi enam pasar raya besar utama sejak Rabu lepas mendapati pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak berada melebihi masa ditetapkan.
“Paling lama tempoh diambil pelanggan adalah 1 jam 50 minit manakala paling singkat dicatatkan selama 15 minit. Kita juga akan perluaskan pemeriksaan ini ke premis perniagaan lain yang menjadi tumpuan umum,” katanya.
Ain Arjuna berkata, hasil pemantauan turut mendapati rata-rata premis perniagaan di negeri ini membuat sistem kad bernombor dan pelekat berwarna mengikut jam bagi mengawal kemasukan pelanggan.
Sementara itu, usahawan, Fatehah Zainal Abidin, 34, berkata kebenaran diberikan kerajaan untuk membeli barangan dalam tempoh dua jam akan dimanfaatkan dalam pembelian barangan keperluan seperti makanan dan kesihatan.
“Tempoh dua jam itu cukup untuk membeli barangan keperluan. Sebaik sahaja urusan selesai, tidak perlu singgah atau ‘lepak’ di mana-mana tempat dan terus sahaja balik ke rumah,” katanya.
Pada 26 Mei lepas, KPDNHEP menggerakkan OPS HAD 2J bagi memantau pematuhan SOP berkaitan had masa maksimum keberadaan pelanggan di premis perniagaan di seluruh negara.
— Bernama