Uzzair sanggup berjauhan, berguru di Phuket
KANGAR,. Demi mengejar cita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan beraksi bersama skuad Harimau Malaya satu hari nanti, Uzzair Zayyan Naimulddin yang baru berusia 12 tahun sanggup berjauhan dengan keluarga bagi mengejar cita-cita.
Murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong, Beseri itu berkata walaupun hatinya berat untuk melakukannya, beliau perlu kuatkan semangat kerana baginya setiap kejayaan memerlukan pengorbanan.
Bernama sebelum ini melaporkan Uzzair Zayyan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke British International School Phuket (BISP) Thailand dan menerima biasiswa sukan bola sepak berjumlah RM120,000 setahun di bawah program High Performance Team (HPT) yang dikendalikan oleh Cruzeiro Football Academy Brazil.
“Saya telah bersedia dari semua segi sebelum berangkat ke Phuket pada 23 Ogos nanti dan akan cuba menyesuaikan diri demi memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada Bernama.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata beliau sedar kerjaya sebagai pemain bola mempunyai had umur tertentu namun ia bukan satu halangan baginya.
“Saya akan habiskan masa muda sebagai pemain bola sepak profesional dan akan terus menyambung kerjaya sebagai jurulatih apabila sudah tua nanti,” katanya sambil ketawa kecil.
Uzzair Zayyan berkata walaupun perjalanannya dalam kerjaya tersebut masih jauh, beliau berazam untuk melakukan yang terbaik bagi mengejar impiannya itu.
“Kalau boleh saya ingin jadi pemain bola sepak yang hebat seperti idola saya iaitu bekas pemain tengah kelab Barcelona, Xavi Hernandez dan pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim…saya meminati dua bintang bola sepak ini kerana mereka mempunyai daya kepimpinan dan mampu membuat keputusan dengan cepat,” katanya.
Uzzair Zayyan pernah menyertai pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong, ketika berusia lapan tahun malah pernah ditawarkan menyertai kem bola sepak di peringkat antarabangsa bersama kelab Eropah dari Belanda, Ajax Amsterdam di bawah tajaan TH Global awal tahun lepas namun ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19.
— Bernama