Vaksin COVID-19: Kami semua okey selepas terima suntikan! – Pesakit kronik

Vaksin COVID-19: Kami semua okey selepas terima suntikan! – Pesakit kronik

JITRA,. Menghidap pelbagai penyakit kronik seperti masalah buah pinggang dan terpaksa bergantung pada rawatan dialisis sememangnya bukan perkara enteng, apatah lagi jika penghidapnya merupakan warga emas.

Justeru, apabila diberitahu oleh petugas kesihatan bahawa mereka perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, pelbagai perasaan muncul, sementelah pelbagai cerita kurang enak ‘singgah’ di telinga masing-masing mengenai kesan setelah menerima suntikan, akui sesetengah pesakit yang ditemui Bernama.

“Mula-mula memang takut nak suntik vaksin ini sebab dengar bermacam-macam cerita, tetapi mak cik kuatkan semangat, mak cik pi (pergi) juga cucuk, Alhamdulillah tak ada rasa apa-apa langsung selepas tu,” kata Che Zaharah Abu Bakar.

Che Zaharah, 62, yang berasal dari Kampung Damai, Kodiang dekat sini dan mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan juga buah pinggang, berkata dia cuba kekal positif serta mengikut nasihat yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) demi kebaikan diri dan masyarakat sekeliling.

Pesara kerajaan Mohd Said Saad, 72, yang menghidap penyakit darah tinggi kronik serta buah pinggang pula, berkata dia tidak membantah apabila diberitahu perlu mengambil vaksin COVID-19 kerana tidak mahu berdepan dengan pelbagai masalah jika ingin berurusan dengan pihak hospital pada masa akan datang.

“Pak cik kena buat dialisis selang sehari dan kerap berurusan dengan pihak hospital. Pak cik rasa macam ‘berhutang’ selagi tak cucuk vaksin. Selepas lengkap dua kali cucuk, pakcik rasa lega dan selamat sikit,” katanya.

“Masa nak suntik tu semua teratur, pak cik tak payah tunggu lama pun di hospital, dan doktor bertugas bagi macam-macam penerangan sebelum cucuk dan sentiasa ingatkan pak cik untuk segera ke hospital kalau rasa apa-apa, tapi pak cik okey, tidak ada rasa apa langsung lepas cucuk kali kedua pun,” katanya yang berasal dari Kampung Hutan Palas, Kodiang dekat sini.

Sementara itu, Jamilah Ahmad, 71, dari Kampung Keda Wang dekat sini, berkata dia hanya berasa ‘sejuk badan’ sahaja pada hari kedua selepas melengkapkan dos vaksin COVID-19, namun tetap bersemangat kerana mahu kekal sihat dan memudahkan urusannya pada masa akan datang.
“Anak mak cik yang duduk di Kuala Lumpur menangis masa mak cik kena cucuk… dia risau la sebab dia duduk jauh dan mak cik dah tua, sakit buah pinggang pula. Tetapi mak cik bagitau dia mak cik kuat. Jadi, mak cik nak nasihatkan semua orang, terutama warga emas, pi la suntik vaksin, jangan takut. Kita kena kuat kalau tidak wabak ni takkan habis,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan seramai 10,827 daripada 30,100 individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 di Kedah, dikesan tidak hadir bagi tempoh 19 April hingga 22 Mei lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang dilaporkan berkata jumlah berkenaan membabitkan individu yang sepatutnya menerima suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan PPV Klinik Kesihatan seluruh negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This