Vaksin COVID-19: Petugas PPV WTC kongsi pengalaman terima 1.3 juta individu

Vaksin COVID-19: Petugas PPV WTC kongsi pengalaman terima 1.3 juta individu

KUALA LUMPUR,. Perasaan gembira, sedih dan bangga, serta pengalaman berharga bercampur baur bagi petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang secara rasminya ditutup semalam, selepas 150 hari beroperasi sejak 5 Mei lepas.

Pengurus PPV WTC dan Lembah Klang Dr Husni Za’eem Abdul Hadi, 35, berkata PPV Mega itu yang khusus dalam memberi vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca, melalui cabarannya tersendiri dalam melaksanakan proses vaksinasi kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata menguruskan pemberian sejumlah 18,000 dos vaksin sehari merupakan antara pengalaman berharga yang beliau tidak akan lupakan.

“Kami juga hadapi cabaran melibatkan orang ramai yang hadir di sini dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pengawalan khalayak. Ini kerana kami pernah menguruskan sejumlah 18,000 dos vaksin dalam tempoh sehari,” katanya ketika ditemui di PPV WTC di sini.

Dr Husni Za’eem turut berkongsi rasa gembira atas kejayaan PPV Mega tersebut dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi, di samping menjadi panduan pada masa akan datang dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

“Saya rasa gembira apabila semua berjalan lancar dan kira-kira 1.3 juta individu telah menerima suntikan vaksin di sini. Kita cuba meminimakan kesilapan, dan maklumat yang kita perolehi ini juga akan dijadikan panduan serta rujukan, untuk kita lebih bersedia berhadapan dengan cabaran pada masa hadapan,” katanya.

Penolong Pegawai Perubatan PPV WTC Mohd Hazani Hassim, 40, turut berkongsi pengalaman di PPV tersebut sepanjang tempoh beliau bertugas, berhadapan dengan individu yang mempunyai pelbagai ragam.

“Memang mencabar sepanjang saya bertugas di sini, ada individu yang perli dengan menyoal saya sama ada picagari itu diisi air, ada juga yang tidak patuh pada SOP dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, kami di sini terus menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi,” katanya yang berkhidmat selama 18 tahun dalam sektor perkhidmatan awam.

Sementara itu, Ketua Platun RELA Salmiah Umar, 55, berkata beliau bersyukur proses vaksinasi telah dilaksanakan dengan jayanya, sepanjang tempoh PPV itu beroperasi.

“Perasaan saya bercampur baur, ada masa gembira dan sebaliknya. Saya bersyukur dan gembira melihat penerima yang hadir di sini menerima suntikan vaksin,” katanya yang turut menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP, meskipun sudah lengkap menerima suntikan bagi melindungi diri serta masyarakat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This