Vaksin kepada warga media akan diperluas ke semua negeri – Saifuddin

Vaksin kepada warga media akan diperluas ke semua negeri – Saifuddin

PUTRAJAYA,. Proses pemberian vaksin COVID-19 kepada pihak media yang dimulakan di sini hari ini, akan diperluas ke seluruh negara bagi memastikan lebih 4,000 warga media yang disenaraikan mendapat vaksin, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

“Saya berterima kasih kepada YB Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) yang memberikan fokus kepada warga media.

“Pada masa sama, warga media yang sudah dapat (janji temu) vaksin dalam MySejahtera, kalau dapat terus pergi.

“Jangan tunggu (vaksinasi) kumpulan media,” katanya selepas meninjau 98 warga media yang menjadi kumpulan pertama petugas media menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Dewan Seri Seroja, di sini hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUJ) yang menggesa warga media yang belum menerima vaksin supaya tidak ke lapangan untuk membuat liputan, Saifuddin berkata beliau sudah menerima surat daripada NUJ dan akan menelitinya.

“Saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dengan Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba. Saya faham keperluan itu,” katanya.

Saifuddin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sememangnya meminta warga media didahulukan kerana mereka merupakan petugas yang turun padang sama seperti petugas barisan hadapan lain.

“Namun saya faham Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 ada perkiraan mereka,” katanya.

Sementara itu, mengenai laporan polis berhubung program All Together Now Malaysia yang ditayangkan stesen penyiaran Astro baru-baru ini, beliau berkata KKMM telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyiasat perkara tersebut.

Saifuddin berkata beliau difahamkan rakaman dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa satu dan kebenaran untuk membuat rakaman ada dikeluarkan oleh Finas.

Jadi, dari segi masa, rakaman dibenarkan, kelulusan juga ada, katanya.

“Cuma MCMC akan siasat sekiranya ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam proses membuat rakaman. Astro telah tangguh tayangan program itu dan saya anggap itu langkah yang baik,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This