
Vettel nafi tinggalkan Ferrari
BARCELONA,. Sebastian Vettel menafikan dakwaan dia akan meninggalkan Ferrari sebaliknya menegaskan dia gembira bersama pasukan dari Itali itu.
Juara dunia empat kali itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Racing Point tahun depan dan masa depannya terus diperkatakan selepas prestasi hambar pada Grand Prix (GP) Britain di Litar Silverstone.
Bercakap ketika sidang media yang diadakan secara atas talian menjelang GP Sepanyol hujung minggu ini, Vettel berkata: “Saya berada di tempat yang membuatkan saya gembira.
“Saya suka untuk bersaing di kelompok depan, memenangi perlumbaan dan merasai nikmat mencapai keputusan yang hebat. Namun, ia agak sukar musim ini dengan pakej yang kami ada,” katanya.
Dia juga menolak andaian yang Ferrari akan menamatkan kontraknya lebih awal.
“Itu saya tidak tahu, saya fikir tidak mungkin. Kami tidak pernah bercakap mengenai perkara ini.
“Saya tahu apa yang saya boleh lakukan. Buat masa sekarang, mungkin belum pada tahap terbaik, tetapi saya pasti jika semuanya beransur pulih dan saya mempunyai peluang, saya akan manfaatkannya,” kata Vettel. – AFP