Video buli tular: Polis sahkan terima laporan mangsa

Video buli tular: Polis sahkan terima laporan mangsa

LANGKAWI,. Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dipercayai dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata kejadian yang dipaparkan dalam video berdurasi 25 saat itu disahkan berlaku di sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Langkawi.

“Laporan polis telah dibuat oleh mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pagi tadi. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 9 pagi semalam dalam sebuah kelas di sekolah tersebut.

“Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dan pelajar-pelajar yang lain. Mangsa telah dirujuk ke hospital sebaik menerima laporan polis dan hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada kecederaan fizikal pada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shariman berkata kesemua suspek sedang dikenal pasti dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )