
Villas-Boas gesa sokongan untuk pemain yang dijangkiti COVID-19
MARSEILLE, Perancis,. Jurulatih Marseille, Andre Villas-Boas, pada Rabu menggesa sokongan untuk pemain kelab yang dijangkiti COVID-19 selepas tiga kes baharu yang menyebabkan kelab Ligue 1 Perancis itu kini mempunyai empat kes.
Ujian positif pada Selasa menyaksikan Liga Perancis terpaksa menangguhkan perlawanan pembukaan musim 2020/2021, yang dijadualkan pertemuan di antara Marseille menentang Saint Etienne hari ini.
“Malangnya, kita hidup pada minggu ini di antara kerisauan tertentu dan berita buruk,” kata Villas-Boas.
“Pandemik terus menakutkan dan memberi kesan kepada begitu banyak keluarga terpaksa mengharapkan bantuan kami.”
Villas-Boas berikrar bahawa “kita semua akan bersatu sekali lagi”.
“Ia adalah masa untuk berwaspada dan untuk saling menyokong sesama kita dan pada masa yang sama mengharapkan masa hadapan yang lebih baik.”
Kira-kira 40 pemain dari 11 kelab diuji positif COVID-19 sejak beberapa minggu yang lalu.
Majoriti mereka yang dijangkiti adalah selepas kembali menjalani latihan pada bulan Jun, menyebabkan mereka dikuarantin dan beberapa perlawanan persahabatan pramusim terpaksa dibatalkan.
Sementara itu, perlawanan pembukaan musim baharu di mana Nimes akan menentang Brest pada Ahad ini, juga ditangguhkan selepas empat kes baharu direkodkan minggu ini.
“Semua pemain yang positif dalam pengasingan di rumah masing-masing. Ketika tiga dari empat pemain tidak bergelaja, pemain keempat kehilangan deria rasa dan bau,” kata kelab dalam satu kenyataan. — AFP