VIPP: 14 vendor bumiputera dinobat Jaguh Nasional dan Serantau
KUALA LUMPUR,. Sebanyak 14 vendor bumiputera dinobat Jaguh Nasional dan Jaguh Serantau di bawah Program Pembangunan Vendor Kementerian Pembangunan Usahawan (PPV MED) sempena penganjuran Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIPP).
Selain trofi dan sijil penghargaan, jaguh-jaguh vendor turut dianugerahkan insentif program pembangunan kapasiti yang berprestij dan berimpak tinggi iaitu Kaizen Japan Study Tour bernilai RM94,000 bagi setiap syarikat yang diberi pengiktirafan.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, kementeriannya amat komited dalam meneruskan pelaksanaan usaha penambahbaikan bagi memastikan usahawan tempatan terutama vendor Bumiputera.
Jelasnya, ia akan diperkasakan melalui program pembangunan kapasiti termasuklah program berkaitan teknologi, inovasi serta akses pasaran.
“MED akan sentiasa memantau dan memastikan penambahbaikan program ini pada tahun hadapan.
“Kita akan bawa lagi jaringan mungkin dari luar negara, mungkin juga dari institusi tempatan yang memfokuskan inovasi dan sebagainya untuk sama-sama memadankan kita sebagai usahawan dan sebagai pencipta.
“Sokongan saya hargai untuk penaja Celcom dan syarikat-syarikat lain,” katanya semasa berucap pada Majlis Malam Apresiasi sempena penganjuran VIPP di sini, pada Rabu.
Turut hadir Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Radzi Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Axiata Berhad selaku rakan strategik VIPP, Azlan Zainal Abidin.
Pemilihan Jaguh Nasional dan Serantau dibuat selepas pelbagai penilaian prestasi syarikat diambil kira serta pencapaian dalam sektor antaranya automotif, telekomunikasi hartanah dan perladangan serta telekomunikasi.
Pada majlis sama, MED juga menjalinkan kerjasama strategik dengan termeterainya acara penyerahan Surat Akuan kepada Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi program Internationalisation of SME Products.
Selain itu, Tenggara Nasa Sdn. Bhd. turut diumum sebagai anchor baharu PPV selain turut diadakan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MED dan Malaysia Airlines Berhad.
Penganjuran VIPP merupakan manifestasi MED dalam memperluaskan ekosistem PPV MED melalui akses pembiayaan konvensional dan alternatif, peningkatan produk secara rentas sektor serta memperkukuhkan rantaian bekalan menerusi dasar carve out kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dalam perolehan Kerajaan.
Ia usaha pengukuhan jalinan kerjasama dan penyertaan usahawan PKS adalah komponen penting di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 serta pemangkin hala tuju sebagai negara keusahawanan unggul menjelang 2030.
Bagi tahun 2018, sebanyak 1,094 syarikat vendor berjaya mencapai nilai perolehan sebanyak RM5.312billion.
Penganjuran VIPP selama dua hari menyaksikan enam syarikat anchor berpotensi iaitu PLUS Malaysia, Cement Industries – CIMA, UEM Sunrise, UEM Edgenta, Foresight Industries dan Tenggara Nasa telah dikenalpasti.
Syarikat-syarikat ini akan memuktamadkan proses perlantikan pada hujung tahun ini dengan sasaran sebanyak 80 syarikat vendor baharu untuk dibangunkan.