Wahid Omar: Korporat perlu jadikan agenda kelestarian sebagai tumpuan utama

Wahid Omar: Korporat perlu jadikan agenda kelestarian sebagai tumpuan utama

KUALA LUMPUR,. Korporat perlu menjadikan agenda kelestarian sebagai tumpuan utama pelan pembangunan mereka, kata Pengerusi Bursa Malaysia dan juga Profesor Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata terdapat konsep empat kuadran kelestarian korporat iaitu tentang tempat kerja, pasaran, komuniti, dan persekitaran yang mana warganegara yang bertanggungjawab perlu meliputi kesemua empat kuadran ini.

“Saya fikir secara umumnya mereka (korporat) telah melakukannya tetapi satu bahagian yang mungkin perlu diperkukuh adalah konteks kelestarian yang lebih meluas, bukan sebagai tanggungjawab sosial korporat tetapi sebagai satu cara menjalankan perniagaan,” katanya.

Abdul Wahid merupakan salah seorang ahli panel dalam webinar Pemulihan Lestari dan Inklusif: Merangka Realiti Baharu: Perbincangan Panel, hari ini.

“Saya fikir sudah pastinya banyak lagi yang mereka boleh lakukan, dan saya fikir sebelum ini kita telah melihat banyak tumpuan diberikan kepada pendapatan bersih,” kata Abdul Wahid.

Beliau juga berkata sekiranya korporat tidak melihat perniagaan mereka secara lestari, ia tidak akan menjadi lestari kerana asas pelanggan mereka akan hilang sekiranya mereka tidak melihat kepada persekitaran.

“Sebagai contoh, dalam kes perladangan (syarikat) tidak ada orang yang akan membeli produk sawit anda sekiranya anda tidak menjaga tenaga kerja anda,” kata Abdul Wahid.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This