Wai Ching Cipta Rekod Baharu Di Space Needle, Seattle

Wai Ching Cipta Rekod Baharu Di Space Needle, Seattle

KUALA LUMPUR – Jaguh larian menara dunia Soh Wai Ching sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang dalam kategori elit lelaki selepas menjuarai Pertandingan Mendaki Anak Tangga Space Needle Amerika Syarikat pada Ahad.

Wai Ching melakukan larian 49 tingkat dengan 832 anak tangga (ketinggian 158.5 meter) dalam tiga minit 50 saat, sekali gus memecahkan rekod terdahulu 4:16s yang dicatatkan oleh pelari menara Amerika, Tristan Roth pada 2019.

Ini adalah pingat emas keduanya selepas beliau menjuarai Larian Menara US Bank di Los Angeles, Jumaat lepas (30 September).

Atlet berusia 28 tahun itu akan menyertai pertandingan larian menara di Empire State Building New York, 6 Oktober ini, bagi mempertahankan kejuaraan dalam kategori lelaki elit yang dimenanginya tahun lepas.

Perlumbaan terakhirnya di AS ialah di One Tampa City Centre, Florida pada 8 Oktober ini.

Wai Ching berkata beliau bersyukur berjaya memecahkan rekod dan berharap untuk menyumbang satu lagi emas dalam perlumbaan selepas ini.

– Bernama

CATEGORIES
Share This