Wanita paling lama berada di ruang angkasa selamat pulang

KAZAKHSTAN,. Angkasawan wanita Amerika Syarikat (AS), Christina Koch menjadi wanita pertama berada paling lama di ruang angkasa selepas 11 bulan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Koch selamat mendarat di Kazakhstan pada jam 3.12 petang waktu tempatan bersama dua rakannya, Luca Parmitano, dari Agensi Angkasa Eropah dan Alexander Skvortsov, dari Rusia.
Memetik AP, kakitangan NASA itu berada di ruang angkasa selama 328 hari, sekali gus memberi peluang kepada penyelidik untuk melihat kesan kepada wanita yang berada lama di angkasa lepas.

Koch dilihat tersenyum lebar dan menunjukkan tanda ‘thumbs up’ selepas dibawa keluar dari model terbaharu Soyuz.
Berbeza dengan Koch, Parmitano dan Skvortsov pula menamatkan misi selama 201 hari berada di ISS.

Difahamkan, Koch, 41, akan dibawa ke ibu pejabat NASA di Houston melalui Karaganda dan Cologne, Jerman untuk pemeriksaan perubatan.

Sebelum ini, rekod angkasawan wanita paling lama berada di ruang angkasa adalah selama 289 hari yang oleh dipegang angkasawan veteran, Peggy Whitson.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )