Wanita PKR bergerak aktif tambah jumlah keahlian di Sabah
KOTA KINABALU,. Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus bergerak aktif untuk menambah lebih ramai jumlah keahlian parti itu di Sabah, sekali gus menggalakkan golongan berkenaan berkecimpung dalam perkembangan arena politik negara, kata Timbalan Ketua Wanita PKR pusat Dr Daroyah Alwi.
Beliau berkata Sabah adalah antara negeri mencatatkan jumlah keahlian wanita PKR tertinggi di negara ini dan jumlah itu diyakini akan bertambah dari semasa ke semasa memandangkan PKR pada masa sekarang melaksanakan sistem pendaftaran keahlian secara dalam talian.
“Sasaran kita adalah untuk menambahkan keahlian seramai mungkin. Ini juga ada dalam kempen Wanita (iaitu) menggalakkan keahlian wanita dalam PKR selain kita mahu mereka (golongan wanita) membuka minda untuk bersama-sama dalam arus politik tanah air,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Perdana Sabah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Daroyah turut memuji kematangan golongan wanita Sabah dalam berpolitik memandangkan ahli wanita PKR di negeri itu tidak hanya merangkumi kawasan bandar tetapi juga luar bandar dan pedalaman sekali gus memperlihatkan keterbukaan minda serta kesedaran mereka dalam bidang berkenaan.
“Wanita PKR Sabah banyak menggerakkan aktiviti termasuk program pemberdayaan wanita. Mereka bersatu hati dan bekerjasama dalam pergerakan wanita di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid berkata parti itu merekodkan kira-kira 60,000 ahli wanita dan ia tidak termasuk jumlah terkini ahli baharu didaftarkan secara dalam talian.
— BERNAMA