Wanita rugi RM79,600 diperdaya sindiket Macau Scam

Wanita rugi RM79,600 diperdaya sindiket Macau Scam

IPOH,. Seorang wanita kerugian RM79,600 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, yang menyamar sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata, kerani di sebuah syarikat swasta berusia 51 tahun itu diperdaya suspek kononnya mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram, menerusi panggilan telefon menggunakan nombor telefon IPK Sabah, 088-454222.

“Pada 4 Jun, semasa pengadu berada di tempat kerjanya dia menerima panggilan telefon daripada suspek dan kononnya sekiranya mangsa ingin menyelesaikan masalah itu, beliau perlu membuat pembayaran terlebih dahulu.

“Bermula 4 sehingga 6 Jun, pengadu telah mengeluarkan wang berjumlah RM65,000 daripada akaun simpanannya dan meminjam wang daripada empat orang rakannya berjumlah RM14,600 sebelum melakukan pindahan wang sebanyak lapan kali, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM 79,600,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata, selepas pengadu memasukkan kesemua wang yang diminta suspek, pengadu mendapati nombor telefon suspek tidak dapat dihubungi lagi, dan telah menghilangkan diri.

“Pada mulanya suspek menggunakan nombor telefon IPK Sabah dan kemudiannya menghantar nombor akaun untuk pindahan wang melalui Whatsapp menggunakan nombor telefon bimbit 011-12715059.

“Hasil semakan mendapati lokasi panggilan telefon dan WhatsApp yang dibuat oleh suspek dari Miri, Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This