Warga asing di Malaysia sebelum PKP dibenar masuk Sarawak tanpa kuarantin – JPBN

Warga asing di Malaysia sebelum PKP dibenar masuk Sarawak tanpa kuarantin – JPBN

KUCHING,. Semua warganegara asing termasuk pemegang permit kerja dan visa yang sah dan peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang telah berada di Malaysia sebelum Perintah Kawalan Pergerakan bermula, dibenar masuk ke Sarawak tanpa dikuarantin, berkuat kuasa hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata mereka bagaimanapun perlu terlebih dahulu memohon kebenaran daripada JPBN.

“Bagi warga asing (pemegang permit kerja dan visa yang sah termasuk peserta MM2H) yang masuk ke Malaysia semasa PKP, dibenar masuk ke Sarawak tetapi perlu memohon melalui JPBN dan wajib dikuarantin 14 hari dan semua kos ditanggung sendiri,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, JPBN berkata aktiviti sukan dan rekreasi di negeri ini dibenar beroperasi semula mulai Rabu ini, dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan.

Turut dibenarkan beroperasi semula ialah pusat kecantikan mulai tarikh yang sama.

Kesemua keputusan berkenaan, menurut JPBN diputuskan dalam mesyuarat jabatan berkenaan, hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This