Warga asing maut kebakaran bengkel kereta

Warga asing maut kebakaran bengkel kereta

SHAH ALAM,. Seorang pekerja bengkel warga asing maut dalam satu kebakaran di sebuah bangunan bengkel kereta di sekitar Seksyen 16 di sini, awal pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ramsay Anak Embol berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berkenaan kebakaran yang disedari berlaku di sebuah bengkel kereta pada 5.56 pagi.

Beliau berkata bangunan bengkel tersebut merupakan bangunan dua tingkat dan mangsa seorang lelaki warga Pakistan dipercayai pekerja bengkel tersebut yang tidak dapat menyelamatkan diri dijumpai di tangga bangunan berkenaan.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian dan mengalami kecederaan melecur pada kedua-dua belah kaki dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bangunan tersebut telah musnah sepenuhnya akibat kebakaran dan siasatan masih dijalankan berhubung punca kejadian.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This