Warisan tidak pandang mudah PRK Parlimen Kimanis – Mohd Shafie

Warisan tidak pandang mudah PRK Parlimen Kimanis – Mohd Shafie

KOTA KINABALU,. Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak akan memandang mudah dan terlalu yakin dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis, sebaliknya akan bekerja keras memastikan kemenangan calon parti itu nanti.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata biarpun tarikh PRK Parlimen Kimanis belum diputuskan, beliau mahu parti tidak mengambil mudah dan terlalu yakin untuk menang pada PRK itu.

“Jangan ambil mudah dan terlalu yakin serta jangan bangga akan memperolehi kemenangan sebaliknya kita perlu sampai kepada pengundi di kawasan itu.

“Kita usaha cari pengundi di kampung-kampung dan tempat untuk kita yakinkan mereka siapa mereka pilih untuk wakil kawasan mereka agar tidak ketinggalan,” kata Ketua Menteri Sabah itu pada sidang media di Pejabat Operasi Syarikat Penerbangan Sabah Air di sini, hari ini, sejurus tiba dari lawatan kerja di Jepun.

Beliau berkata demikian semasa mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Isnin lepas yang mengekalkan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Mohd Shafie berkata partinya juga belum membuat keputusan calon yang akan bertanding pada PRK itu nanti.

“Kita putuskan (calon) bila sudah tiba masanya iaitu apabila tarikh PRK itu diumumkan nanti,” katanya sambil menambah, menjadi keutamaan adalah calon yang ada pencapaian baik.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, calon Warisan yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang tewas tipis 156 undi kepada Anifah.

Dalam pertandingan tiga penjuru di kawasan Parlimen berkenaan Anifah memperoleh 11,942 undi, manakala Karim yang mendapat 11,786 undi, dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.

Karim memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This