WARISAN; tidak terkejut tindakan Limus dan James keluar parti

WARISAN; tidak terkejut tindakan Limus dan James keluar parti

KOTA KINABALU,. Keputusan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) meninggalkan parti dan tidak lagi menyokong kerajaan Sabah bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Bagaimanapun Parti Warisan Sabah (WARISAN) menghormati keputusan yang dibuat oleh ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut Datuk James Ratib yang memutuskan untuk keluar parti.

Ketua Penerangan WARISAN Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, sejak pertukaran kerajaan Persekutuan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN), nama kedua-dua ADUN berkenaan tersebar meluas di media sosial sebagai dua wakil rakyat yang kemungkinan keluar parti.

“Semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Datuk Limus dan Datuk James bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) tetapi disebabkan kekalahan BN kepada PH di Putrajaya, mereka meninggalkan parti lama kerana mahu menyokong WARISAN yang bekerjasama dengan PH.

“Datuk Limus mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat, Perwira Progresif Sdn Bhd yang mendapat kontrak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah berjumlah RM385 juta, manakala Datuk James antara kontraktor yang mendapat manfaat daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Justeru, tindakan mereka adalah demi kepentingan diri masing-masing dan bukan untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, sudah tentu kedua-dua ADUN terbabit menerima tekanan dan perlu terus bersama kerajaan Persekutuan dan atas sebab itu juga mereka sekali lagi berpaling tadah dan dalam keadaan terpaksa menyokong PN.

Menurutnya, alasan kononnya mereka beralih sokongan demi rakyat serta hilang kepercayaan kepada Presiden UPKO hanyalah satu retorik untuk meletakkan kesalahan di bahu orang lain dan melepaskan diri daripada kecaman pengikut dan pengundi.

“Mereka hanya memberi alasan mahu memperbaiki hubungan dengan kerajaan Persekutuan.

“Sedangkan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebelum ini menegaskan beliau sedia menjalin kerjasama antara kerajaan (G2G) dengan PN pada bila-bila masa walaupun tidak sealiran dalam politik.

“Semasa PH memerintah, hubungan baik itu amat ketara apabila 17 tuntutan hak Sabah yang diminta daripada kerajaan Persekutuan berjaya dimeterai, perkara ini tidak pernah berlaku semasa zaman BN,” jelasnya.

Yusof berkata, kerajaan Sabah masih kukuh dengan jumlah 45 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru katanya, tindakan dua ADUN ini tidak akan menggugat kestabilan politik Sabah, malah agenda pembangunan negeri akan diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

–Utusan BORNEO

CATEGORIES
TAGS
Share This