Waspada akaun media sosial palsu guna nama Menteri Kerja Raya

Waspada akaun media sosial palsu guna nama Menteri Kerja Raya

KUALA LUMPUR,. Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meminta orang ramai untuk berwaspada dengan beberapa akaun media sosial palsu yang menggunakan namanya.

Beliau yang kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu berkata perbuatan tersebut bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan, malah akan disalahgunakan dan memperdayakan orang awam.

“Saya ingin menasihati semua pengguna media sosial supaya tidak mempercayai maklumat palsu tersebut dan hanya mengikuti akaun rasmi,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Nanta juga meminta orang ramai agar melaporkan sebarang akaun mencurigakan yang menyamar sebagai Menteri Kerja Raya atau Ahli Parlimen Kapit.

Menerusi hantaran itu, Nanta turut berkongsi tangkap layar akaun media sosial palsu yang menggunakan namanya iaitu @alexander_nanta_linggi.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This